Perjalanan Hidup Jenama Proton - 51% Pegangan Kilang Oleh Geely, Adakah Perjuangan Proton Sudah Berakhir?


PROTON. Sebut saja Proton di Malaysia siapa yang tidak tahu Proton. Lahir pada 1983, cukup terkenal dengan model Saga ketika 1985, Proton terus membanggakan negara dengan pelbagai keluaran kenderaan mereka seperti Wira, Satria, Putra dan Perdana. Ketika itu rakan teknologi Proton adalah Mitsubishi. Proton terus maju ke hadapan dengan memiliki jenama legenda eropah iaitu Lotus pada tahun 1996. Selain itu, Proton ada juga melakukan tindakan aneh seperti mengeluarkan model Tiara rebadge model Citreon AX , kereta kecil dengan enjin 1.1 dan rim tayar 3 skru. 

Pada tahun 2000, Proton mula mencari identiti sendiri dengan menghasilkan model pertama iaitu Waja. Waja adalah kereta yang berkongsi platform Volvo S40 dan Mitsubishi Lancer Cedia. Di sini bermulalah era tuil signal sebelah kiri dan wiper sebelah kanan. Proton muncul lagi produk aneh ketika itu dengan keluaran Juara, iaitu rebadge Mitsubishi Townbox pada tahun 2001. Proton terus mengeluarkan kenderaan pikap kecil pada tahun 2004 iaitu Arena, ia cukup popular di luar negara. 

Selepas model hasilan pertama iaitu Waja, Proton mengorak langkah dengan menghasilkan Gen.2 pada tahun 2004 dan ia sedikit membanggakan kerana Proton dilihat sudah mampu berdikari sendiri, Pada tahun 2005 kemunculan Savvy yang mengganti Tiara seakan meneruskan keanehan model sebelumnya kerana bentuk Savvy nampak pelik dan ia menggunakan enjin 1.2 daripada Renault. Kes power window ketika itu masih menghantui pembeli sejak era Iswara dan Wira. Terdapat juga kegusaran terhadap enjin pertama Campro.

Pada waktu itu jelas Proton masih tercari-cari identiti, dan pengguna sebenarnya terbiasa dengan produk Jepun. Tidak hairanlah Perodua yang mempunyai jalinan Daihatsu pula terus mencanak naik ketika itu dengan pengenalan model Kancil, Kelisa, Rusa, Kembara, Kenari dan Myvi adalah yang paling glamor dan diminati orang ramai sehingga hari ini.

Pada tahun 2005, Mitsubishi melepaskan pegangannya dalam Proton, Hicom ketika itu merupakan pemegang majoriti dan pegangan Mitsubishi itu diambil oleh Khazanah Nasional. Proton terus muncul dengan model Satria Neo pada tahun 2006, sangat menarik tetapi pasaran kereta dua pintu ini sangat kecil. 

Di saat Proton dalam menempuh tempoh sukar, Proton tampil dengan lembaran baru iaitu mengeluarkan model sedan iaitu Persona yang berasaskan model Gen.2. Persona terus mendapat sambutan dan ia adalah antara model generasi baharu yang popular. Pada tahun 2008 Proton tampil model Saga generasi baru. Proton Saga BLM (Based Line Model). Saga generasi baru ini bukan lagi Lancer Fiore, sebaliknya ia adalah dibangunkan sendiri oleh Proton dan menggunakan enjin Campro yang telah dikemaskini. Sangat membanggakan, ia mendapat sambutan yang menggalakkan, dan terus muncul dengan Saga FLX.

Selepas bernafas dengan Saga generasi baru dan tidak pernah rasa putus asa, Proton mengeluarkan pula MPV sederhana tujuh tempat duduk iaitu Exora pada tahun 2009, agak kurang meyakinkan pada mulanya kerana menggunakan enjin Campro 1.6, Exora Bold muncul dengan enjin Campro 1.6 turbo dengan gear CVT. Kini Exora antara pilihan MPV terbaik di Malaysia. Proton dilihat kembali dilihat orang ramai dengan tiga model ini - Saga, Persona dan Exora disamping model ditambah baik seperti Gen.2 dan Satria Neo R3.

Walaupun Proton sudah mempunyai model-model mereka sendiri, pada 2010 model Inspira dilancarkan, ia adalah model rebagde daripada Mitsubishi Lancer 2007. Tujuan model ini diperkenalkan adalah untuk melengkap barisan bagi setiap segmen keluaran Proton. Ramai juga pengkritik yang lantang bersuara ketika itu tetapi disebalik Inspira itu Proton mungkin telah mempelajari sesuatu. Pada tahun yang sama juga Proton memperkenalkan model konsep kereta kompak EMAS dan Proton Tuah yang direka oleh Italdesign Giugiaro.

Selepas Proton dimiliki oleh DRB-Hicom apabila Khazanah Nasional melepaskan pegangan sebagai wakil kerajaan, Proton menjadi entiti swasta pada tahun 2012, model Preve sedan segmen C dilancarkan berasaskan dari model Tuah. model ini mendapat sambutan orang ramai dan tidak lama kemudian lahir pula model hatchback dari Preve iaitu Suprima S pada 2013.

Proton muncul dengan apa yang dikatakan paling baik setakat ini iaitu Iriz pada tahun 2014. model kompak segmen B yang dinanti-nantikan berasaskan kereta konsep EMAS. Walaupun muncul tidak tepat pada masanya kerana Perodua Myvi sudah menguasai pasaran, Iriz secara perlahan terus menjadi pilihan pembeli kerana ia moden, bergaya dan menggunakan enjin Campro VVT yang lebih yakin. Iriz bolehlah dikatakan memadamkan sejarah hitam model terdahulu seperti Tiara dan Savvy.

Dengan kekuatan yang ada, pada tahun 2016 Proton memperkukuhkan kepercayaan pengguna dengan kemunculan model Perdana generasi baharu. Perdana generasi baharu tidak lagi berpandukan Mitsubishi Eterna seperti generasi pertama sebaliknya dibangunkan dari jenama Jepun iaitu model Honda Accord generasi kelapan. sebelum dilancarkan kepada umum, Perdana generasi baharu ini sudah digunakan untuk kerajaan sejak 2014 tetapi ketika itu tiada pengubahsuaian yang banyak.

Pada tahun 2016 juga, Proton memperkenalkan model Persona generasi kedua tetapi di dalam segmen B. Persona ini berasaskan Iriz dan apa yang terdapat pada model ini telah ditambah baik dari model Iriz. Jadi tidak hairanlah mengapa ramai yang menggunakannya kerana penambahbaikan yang dibuat memuaskan hati pengguna. Saga generasi ketiga pula muncul untuk meneruskan legasi kecemerlangan model ini. Masih menggunakan platform yang ada, Saga baru ini berwajah baru dan menggunakan enjin Campro VVT, tidak seperti Saga FLX yang menggunakan enjin Campro IAFM.

Bagi memenuhi kehendak pasaran, Proton muncul dengan model MPV segmen B. MPV Ertiga adalah kerjasama Proton dan Suzuki untuk menggunakan model Ertiga sebagai barisan model jenama Proton. Ketika ini Proton mempunyai barisan model yang cukup lengkap bagi memenuhi kehendak pasaran luar dan dalam negara - Perdana, Preve, Suprima S, Exora, Persona, Iriz, Ertiga dan Saga.

Dan bagaimana pula perjalanan Proton ketika ini? Jika dahulu ketika zaman Wira dan Saga, negara kita masih mengenakan sekatan atau cukai ke atas jenama lain, tetapi untuk negara terus berkembang maju, Malaysia kini telah menyertai perdagangan bebas dengan negara lain agar kita juga boleh memasarkan produk tempatan secara terus ke negara berkenaan. Menjadi Persoalan sekarang adalah kecoh mengenai Proton yang bakal diambil pegangan 51% oleh Geely dari China. Persoalan ini harus dijelaskan.

Geely merupakan salah satu pembida yang ingin mengambil alih 51% fasiliti Kilang Proton di Tanjung Malim, bukannya memiliki 51% Proton. Dengan erti kata lain, Proton itu tetap dimiliki oleh pihak swasta di Malaysia iaitu DRB-Hicom. Selain Geely, PSA – Peugeot/Citroen dari Perancis juga sedang bertungkus lumus untuk memiliki kepentingan fasiliti kilang Proton Tanjung Malim. 

Kebanyakan model keluaran Proton banyak dikeluarkan di kilang mereka di Shah Alam, hanya beberapa model sahaja di Tanjung Malim. Dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, pemain industri automotif sedaya upaya mengurangkan kos dan mengharapkan operasi yang lebih bijak. Dengan kedudukan Proton tidak seperti masa lalu, mana mungkin Proton menggunakan sepenuhnya Kilang di Tanjung Malim.

Dengan adanya Geely atau PSA – Peugeot/Citroen nanti di kilang Proton Tanjung Malim, kita bakal menyaksikan pertambahan tenaga kerja baru, menyemarakkan lagi ekonomi setempat. Bagi Proton pula, kedua-dua pembida ini mempunyai kelebihan kerana mereka sudah mempunyai teknologi antara yang terkini di dunia. 

Untuk sekadar maklumat, pada tahun 2010, Geely menyelamatkan Volvo daripada Ford Motor pada nilai USD1.8 billion. Selain Volvo, Geely juga memiliki Manganese Bronze, syarikat yang memasang teksi TX4- London Black Cab. PSA – Peugeot/Citroen pula sememangnya mempunyai barisan kenderaan yang cukup dikenali di serata dunia.

Memberikan 51% dalam kilang Tanjung Malim tidak bererti ia mendapat secara mudah, dari awal lagi ia dikenali rakan teknologi, semestinya Proton mahukan pulangan atau timbal balik daripada perjanjian ini. Dengan julat jualan yang tidak sebesar jenama lain, Proton juga mahukan kos yang efektif untuk mengeluarkan kenderaan mereka. Oleh sebab itu, Proton perlu menyerap kos pembangunan yang sememangnya terlalu tinggi dan jumlah jualan yang sedikit tidak memungkinkan Proton boleh melabur lebih banyak dalam teknologi baru terutama enjin moden yang mematuhi emission standard negara-negara maju.

Kilang Proton di Tanjung Malim ini harus dimanfaatkan kerana Malaysia dikelilingi oleh negara yang mempunyai penduduk yang ramai. Keadaan ini sebenarnya sudah dibuat oleh Perodua iaitu memasang model Avanza pada tahun 2004. Selain itu, Perodua juga memasang Daihatsu Sirion bagi pasaran Indonesia. Keadaan sebagai pemasang kereta jenama lain tidak merugikan malah memberi keuntungan dan peluang baru kepada tenaga kerja serta vendor tempatan.

Sebagai contoh, jiran negara kita, Thailand dahulu bukanlah pemain automotif, tetapi kini telah menjadi pengeksport kenderaan pikap sederhana nombor satu dunia. selain itu, hampir semua jenama Jepun kini bertapak di Thailand. Tidak hairanlah setiap kali pelancaran model baru jenama Jepun bermula di Thailand bagi rantau ini dan keadaan itu telah mengukuhkan lagi matawang mereka berbanding negara kita.

Walau apapun Proton masih meneliti siapakah yang layak menjadi rakan teknologi ini, melepaskan 51% pegangan fasiliti Kilang Proton Tanjung Malim adalah situasi menang-menang bagi Proton dan rakan teknologinya nanti kerana masing-masing pasti sudah mempunyai perancangan masa hadapan. Ketika ini, Geely dilihat sedang berada di hadapan berbanding PSA – Peugeot/Citroen. Kita hanya ada Proton, apakah episod perjalanan Proton seterusnya? marilah kita doakan semoga Proton terus berjaya di masa hadapan.
Share this article :

+ comments + 5 comments

Tanpa Nama
9 Februari 2017 12:33 PG

Semoga Proton Berjaya.Lebih berminat dengan Perancis.

11 Februari 2017 4:23 PTG

Jual saja 51% kilang Tanjung Malim.. Jual Juga 51% kilang PHB di Shah Alam.. Tapi jangan jual PHB atau kalau Jual share PHB mestilah tidak lebih 10% share.. Saya percaya jika jual kepada syarikat China Proton akan berkembang sedikit demi sedikit.. Jika jual kepada syarikat eropah Proton akan di-rebranding kepada jenama mereka atau brand eropah, mungkin tiada lagi brand proton 10 tahun akan datang..

11 Februari 2017 4:32 PTG

Jika jual kepada Syarikat eropah jual 51% share kilang sahaja jangan jual share PHB.. Dengan kata lain Proton kekal milik tempatan disamping dapat projek baru memasang kereta jenama eropah di kilang Tanjung Malim untuk tempoh yang lama dan panjang..

17 Februari 2017 9:54 PG

Saya rasa sentimental sungguh bila dengar nama Proton..banyak kenangan lama..harap2 nama dia akan kekal sebagai brand

26 Februari 2017 8:32 PTG

Adakah proton satria neo r3 masih ada dijual pada tahun 2017?
Adakah syarikat proton masih membuat keluaran satria neo r3?

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger