Singapura Akan Kenakan Caj Jalan Raya Sepadan Malaysia


Singapura akan mengenakan caj jalan raya sepadan dengan kadar Malaysia pada RM20 bersamaan S$6.50 yang dilaksana sejak 1 November lalu, lapor Channel NewsAsia hari ini. 

Laporan itu memetik Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan sebagai berkata, Malaysia mengutip sekitar RM13.9 juta daripada kenderaan Singapura antara 1 November dan 20 Disember tahun lalu. 

"Dasar kami sejak sekian lama ialah mengenakan kadar sepadan bagi levi, tol atau fi yang dikenakan Malaysia untuk menggunakan jalan raya yang menghubungkan Singapura dan Malaysia. 

"Ini bagi memastikan Malaysia mengambil kira respons kita setiap kali mereka menaikkan kadar tol atau memperkenalkan levi baharu," Khaw dipetik berkata di Parlimen. Katanya perincian mengenai caj sepadan itu akan diumum dalam masa terdekat. 

Bermula 1 November 2016, caj jalan raya dikenakan setiap kali kenderaan dari republik itu memasuki Malaysia menggunakan kad Touch n' Go. 

Peringkat awal kutipan ini hanya melibatkan kenderaan bernombor pendaftaran asing tidak termasuk motosikal. Sistem caj jalan raya itu dilaksana di dua pintu masuk darat di Johor iaitu Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura. - BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger