PNB beli Lebuh Raya SILK RM380 juta


Permodalan Nasional Bhd (PNB) membeli 100 peratus kepentingan dalam Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (SILK) berjumlah RM380 juta.

SILK adalah anak syarikat milik penuh SILK Holdings Bhd (SHB), syarikat yang terbabit dalam konsesi lebuh raya bertol dan perkhidmatan sokongan marin luar pesisir.

SILK adalah pemegang konsesi Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Lebuh Raya SILK) sepanjang 37 kilometer di bawah perjanjian konsesi yang dimeterai pada 8 Oktober 1997 untuk membiayai, reka bentuk, membina, mengendali dan menyelenggara Lebuh Raya SILK dalam tempoh 36 tahun berakhir 31 Julai 2037.

Dalam satu kenyataan bersama, SHB berkata, dana daripada penjualan kepentingan itu diperuntukkan sehingga RM200 juta bagi pelaburan masa depan termasuk menaik taraf dan mengukuhkan perniagaan perkhidmatan sokongan marin luar pesisir dan pelaburan berkaitan perniagaan dalam segmen minyak dan gas serta peluang pelaburan yang dilihat berdaya maju.

Ia berkata, sejumlah RM70 juta diperuntukkan untuk diedarkan kepada pemegang saham dan RM110 juta untuk korporat dan modal kerja umum dan lain-lain.

Katanya, cadangan penjualan adalah sejajar dengan strategi SHB untuk menjana keuntungan dan meraih nilai aset infrastruktur bagi membolehkan SHB Group untuk menyelaraskan operasinya dan menggunakan sumber kewangannya untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan sokongan marin luar pesisir.

"SHB Group akan terus meningkatkan dan mengukuhkan kehadirannya dalam perkhidmatan sokongan industri minyak dan gas dan mempertimbangkan peluang pelaburan berdaya maju lain.

"Dana daripada cadangan penjualan kepentingan ini akan menyediakan SHB Group dengan dana tersedia bagi memanfaatkan peluang apabila ia muncul. Ia akan dilaksanakan dengan tujuan meningkatkan nilai pemegang saham," katanya.

-BHarian
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger