Perodua Axia Dilancar Secara Rasmi, Tempahan Kini Lebih 3000 Unit


Model PERODUA Axia yang ditambah baik menerima lebih 3,000 tempahan sejak tempahannya dibuka pada 13 Januari lalu.

Pengarah Urusan PERODUA Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata tempahan itu memberi petanda positif untuk jualan kereta mampu milik bagi tahun ini.

"Hanya dalam masa tujuh hari (tempahan dibuka), Axia baharu menerima tempahan amat menggalakkan. Kami akan pastikan setiap tempahan akan dihantar kepada pembeli bermula hari ini," katanya pada majlis pelancaran karnival MyPerodua Nation di sini, sebentar tadi.

Karnival itu dirasmikan oleh Pengerusi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Tan Sri Asmat Kamaludin.

Yang turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Pada majlis itu, PERODUA turut memperkenalkan model Axia yang ditambah baik kepada umum.

Model itu dilengkapi enjin VVT-I, peningkatan berbanding enjin semasa (KR Engine) serta didatangkan dengan ciri yang lebih baik. 

Enjin VVT-I akan meningkatkan lagi kecekapan bahan api bagi varian baharu itu dengan penjimatan hingga 22.5 km/l dalam mod pemanduan Eko, berbanding 21.6 km/l (transmisi manual) pada model Axia sedia ada. 

Penambahbaikan lain untuk Axia Standard, termasuk jeriji depan dan bumper gaya baharu; pemegang pintu belakang; reka bentuk fabrik kerusi baharu serta dilengkapi lampu projektor hadapan, selain sistem audio yang didatangkan dengan slot USB.

Karnival MyPerodua Nation berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad ini di Aeon Mall Shah Alam.

Lebih menarik karnival itu yang kali pertama dianjurkan PERODUA, turut menawarkan cabutan bertuah Axia, selain hadiah menarik lain.  


MYPerodua Nation turut menawarkan tawaran eksklusif, aktiviti yang menyeronokkan, pertandingan hebat serta konsert secara langsung daripada artis popular sebagai permulaan positif tahun 2017. 

Selain itu, PERODUA juga menawarkan baucer servis percuma termasuk diskaun khas hingga 50 peratus bagi bahagian dan aksesori.

-BHarian
Share this article :

+ comments + 1 comments

17 Februari 2017 9:57 PG

Just nak share..sejak new facelift ni release..banyak customer yang datang showroom puji & beli...semoga Perodua Axia akan terus mantop!!

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger