Pemeriksaan Kenderaan Persendirian Percuma Di Puspakom Sempena Tahun Baharu Cina


Sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, pemilik kenderaan persendirian berpeluang mendapatkan pemeriksaan kenderaan secara percuma di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bermula Isnin depan hingga 27 Jan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mohammed Shukor Ismail dalam kenyataan hari ini berkata pemeriksaan boleh dibuat di Puspakom seluruh negara kecuali di cawangan Shah Alam; Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; Mak Mandin, Pulau Pinang dan Kota Bharu, Kelantan.

"Pemeriksaan ini merangkumi 25 peringkat ujian termasuklah pemeriksaan brek, keadaan tayar dan rim, meter, kebocoran minyak kotak gear, kebocoran minyak enjin, kebocoran gas, ekzos dan lampu brek serta lampu hadapan.

"Melalui laporan pemeriksaan yang dikeluarkan Puspakom, pemilik kenderaan persendirian dapat mengetahui prestasi kenderaan mereka dan seterusnya boleh membuat pembaikan yang sewajarnya.

"Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kemungkinan kerosakan kenderaan dan juga kemalangan sepanjang musim perayaan," katanya.

Katanya pemilik kenderaan boleh terus mengunjungi cawangan Puspakom bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap hari (mengikut waktu operasi setiap cawangan) tanpa perlu menunggu dan membuat temu janji.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang Puspakom di www.puspakom.com.my.

Sementara itu, Mohammed Shukor berkata Puspakom turut menganjurkan pertandingan 'Snap & Win' yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para pelanggan.

"Para pelanggan hanya perlu menghantar gambar semasa menjalani pemeriksaan itu menerusi 'private message' di Facebook Puspakom.

"Pemenang hadiah 'Super Grand Prize' akan ditentukan berdasarkan jumlah 'Like' tertinggi, pemenang juga berpeluang mendapat khidmat nasihat tentang keselamatan kenderaan daripada Puspakom sewaktu hadiah dihantarkan ke rumah pemenang," katanya.

-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger