Pandu Uji Proton Ertiga - Selesa Untuk Keluarga


Proton Ertiga yang telah dilancarkan pada hujung 2016 merupakan produk terbaru Proton yang keempat selepas Perdana, Persona dan Saga. Proton Ertiga merupakan MPV kompak segmen B hasil usahasama antara Proton dan Suzuki. Ertiga bakal bersaing dengan MPV pengeluar lain di dalam segmen B seperti Perodua Alza, Toyota Avanza dan Nissan Grand Livina.

Diasaskan dari Suzuki Ertiga di Indonesia dan mempunyai tiga varian, Ertiga Executive transmisi manual 5 kelajuan, Ertiga Executive transmisi automatik 4-kelajuan dan Ertiga Executive PLUS yang hanya ditawarkan dengan transmisi automatik 4-kelajuan. Ertiga juga digunakan oleh Mazda untuk model keluaran mereka dengan nama Mazda VX-1.

Dalam dunia automotif yang semakin mencabar, banyak pengeluar kereta mengambil pendekatan jalinan kerjasama dalam membangunkan sesebuah model keluaran mereka supaya aliran perniagaan terus bergerak. Keadaan kerjasama ini juga tidak terhad kepada kereta malah ada yang melibatkan kilang pembuatan, enjin, kotak gear dan alat ganti.

Sesi pandu Uji Proton Ertiga baru-baru ini amat menjelaskan situasi sebenar pengalaman memandu dan menaiki model ini. Walaupun dalam perjanjian Proton dan Suzuki, perubahan minima sahaja yang boleh dilakukan, model Swift yang dipanjangkan ini merupakan MPV yang paling memenuhi ciri-ciri Proton, penggayaan bentuk lampu, garisan tepi, kemasan krom depan dan belakang menghampiri Exora dan ianya juga tidak jauh dari konsep rekaan Proton yang lain.

Apabila saya menaikinya terasa ia besar sedikit dari Perodua Alza, tidak pula tinggi seperti Avanza dan tidak terlalu besar seperti Exora. Saiz yang ngam ngam ini begitu sesuai untuk keluarga yang berkeinginan memiliki MPV.  Tidak besar, tidak kecil dan tidak mahal sangat. Harga yang ditawarkan bermula RM58,800 (varian Executive MT), RM61,800 (varian Executive AT) dan RM64,000 (Executive Plus AT).

Bahagian dalaman yang ringkas dan ia adalah menggunakan papan pemuka Swift generasi ketiga yang mempunyai Unit audio biasa tetapi mempunyai kawalan audio pada stereng. Papan pemuka dua tona iaitu warna gelap di atas dan cerah di bahagian bawah sama warna meliputi bahagian dalam yang lain. Ini mungkin menjadikan ia mudah meninggalkan kesan selepas digunakan ( senang cerita cepat kotor ).

Bagi keselesaan ruang untuk duduk, jika anda melaraskan bangku sebaik-baiknya, Ertiga cukup selesa sehingga ke bangku ketiga. Bangku ketiga tidak kecil seperti MPV segmen B jenama lain. Biarpun perjalanan jauh, bangku ketiga masih selesa diduduk kerana bentuk bangku yang tebal, condongan sandar yang memuaskan. Cuma kekurangan adalah ia tanpa arm rest pada bangku depan tetapi ada pula di bangku baris kedua.

Ertiga hanya mempunyai enam tali pinggang keselamatan dan ia cukup selesa untuk 6 orang dewasa. Keadaan bangku yang empuk ini ditambah pula dengan pendingin hawa bagi penumpang belakang. Cukup empat lubang angin boleh laras, kesejukan di tengah hari rembang cukup terasa dengan saiz yang ditawarkan. Saya kata ia sejuk kerana ia menggunakan blower sendiri, bukan dari pendingin hawa depan. 

Ertiga juga menggunakan enjin yang sama seperti Swift generasi ketiga, K14B 1.4 liter DOHC VVT, dan kotak gear automatik empat kelajuan (kotak gear manual lima kelajuan disediakan untuk varian Executive MT) dikawal secara elektronik, Drive-By Wire (DBW) yang mana saya rasa ia lebih respon berbanding kereta Proton. 

Dengan kuasa sebanyak 92 PS dan tork 130 Nm mungkin kita merasa kurang yakin dengan prestasi tetapi setelah anda memandunya, ia sangat boleh diharap. Mana-mana MPV pun jarang dibawa seperti ingin berlumba kerana ia kereta keluarga pelbagai guna yang dipandu secara biasa dan santai.

Ertiga dilengkapi dengan dua beg udara, ciri ABS dengan EBD, Isofix serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang. Dengan kelengkapan ini, Ertiga layak menerima penarafan empat-bintang dari ASEAN NCAP.

[KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ]



















Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger