Mercedes-Benz Cecah Rekod Jualan Dengan 11,779 Unit Dalam 2016


Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mencatatkan rekod jualan sebanyak 11,779 unit pada 2016, naik sembilan peratus daripada 10,845 unit yang terjual dalam tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM Dr Claus Weidner, berkata Mercedes-Benz terus menjadi jenama mewah nombor satu tempatan dengan penguasaan pasaran sebanyak 2.4 peratus dan berharap akan terus mengekalkan kedudukan ini pada 2017.

"2016 adalah tahun yang luar biasa dalam sejarah MBM. Kita telah melakar sejarah kerana telah menyumbang ke arah kejayaan global Mercedes-Benz, yang mencapai rekod baharu dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.3 peratus dan lebih daripada dua juta kenderaan terjual di seluruh dunia.

"Kami bekerja keras untuk mengekalkan kejayaan kami di Malaysia," katanya dalam satu taklimat media mengenai prestasi kumpulan itu dalam 2016 di sini, hari ini.

Keunggulan prestasi MBM kali ini disumbangkan oleh peningkatan permintaan untuk kenderaan Mercedes-Benz di rantau Asia-Pasifik sehingga mencecah tahap tinggi baharu, naik sebanyak 19.3 peratus berbanding 2015 dimana sejumlah 734,109 kenderaan telah dihantar kepada pelanggan.

Malaysia telah disenaraikan sebagai antara penyumbang utama dalam rekod pertumbuhan yang bersejarah ini bersama-sama dengan Jepun (+3.5 peratus), Korea Selatan (+25 peratus), Australia (+14.8 peratus) dan Taiwan (+17.4 peratus).

Weidner berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, strategi MBM untuk mengutamakan perkhidmatan pelanggan telah berhasil dan terus mengekalkan prestasi jualannya pada kadar yang mantap sepanjang tahun 2016.

Beliau berkata kilang pengeluaran MBM di Pekan, Pahang menghasilkan sebanyak 7,882 kenderaan dalam tahun lepas, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kumpulan juga menawarkan pembiayaan menyeluruh pada 1.88 peratus dan mempunyai portfolio pinjaman sebanyak RM1.8 bilion pada masa ini, dengan empat daripada setiap 10 kenderaan yang dijual akan dibiayai dan dilindungi oleh syarikat kembarnya, Mercedes-Benz Services Malaysia.

"MBM akan terus melabur dalam rangkaian pengedar, menaik taraf kemudahan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MBM untuk Jualan dan Pemasaran, Mark Raine, berkata syarikat itu berharap untuk mencatatkan satu lagi prestasi cemerlang dalam 2017, melalui pelancaran model baharu yang dijangka diperkenalkan pada tahun ini bersama-sama dengan 17 model yang dilancarkan pada tahun lepas.

Beliau ketika mengulas mengenai kesan kelemahan ringgit pada harga dan jualan kereta, berkata MBM akan terus memantau semua faktor-faktor yang mempengaruhi, tetapi buat masa sekarang, ia tidak ada rancangan untuk menaikkan harga kenderaan.

-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger