Fiat Chrysler Wujud 2000 Pekerjaan Di AS


Fiat Chrysler mewujudkan 2,000 pekerjaan di Amerika Syarikat (AS), pengumuman yang hadir selepas bakal Presiden AS, Donald Trump membuat gesaan umum kepada pembuat kenderaan yang melabur di Mexico. 

Firma Amerika-Itali itu akan melabur AS$1 bilion (RM4.47 bilion) menjelang 2020 bagi dua kilangnya di Midwestern, Michigan dan Ohio, pangkalan untuk pekerjaan baharu, kata syarikat dalam satu kenyataan pada pameran auto Detroit. 

"FCA AS menunjukkan komitmen kami untuk memperkukuhkan sektor pembuatan kami di AS," katanya sambil menambah bahawa syarikat itu sudah mewujudkan 25,000 pekerjaan di negara berkenaan sejak 2009. 

Trump yang dalam kempennya berjanji untuk mewujudkan pekerjaan perindustrian di kawasan pusat Amerika menerusi laman Twitter, beberapa minggu lalu menyelar pembuat kenderaan yang memiliki operasi atau merancang untuk membangunkan kilang di Mexico. 

Beliau menggesa General Motors untuk menghasilkan model Chevrolet Cruze di selatan sempadan di mana Toyota sedang membangunkan kilang baharu di sana. 

Selasa lalu, pengeluar AS, Ford mengumumkan pembatalan pembinaan kilang Mexico sebaliknya mengalih pelaburan ke AS dan mewujudkan 700 pekerjaan, sebagai sokongan kepada agenda ekonomi presiden baharu. Fiat Chrysler cuba mengelak daripada komen Trump di Twitter kerana ia akan mula mengimport model Jeep Compass dari Mexico seawal bulan ini. 

Kumpulan automotif lain pula menyatakan mereka akan menjadi lebih fleksibel dalam era baharu politik Amerika. "Kami pragmatik dan akan menyesuaikan diri kepada sebarang situasi," kata ketua pakatan Renault-Nissan, Carlos Ghosn, ketika bercakap di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas. 

Disember lalu, pembuat pendingin hawa Amerika, Carrier menarik semula rancangan untuk memindahkan 1,000 pekerjaan ke Mexico, selepas perjanjian dengan Trump dan pemotongan cukai AS$7 juta (RM31.34 juta). - AFP
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger