Honda Sasar Jual 500 Unit Sebulan Model Terbaharu Accord


Honda Malaysia menyasar menjual 500 unit sebulan model terbaharu Accord yang dilancarkan hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Katsuto Hayashi berkata model terbaharu Accord itu menawarkan tahap pengalaman baharu dalam kelas sedan eksekutif premium.

"Barisan siri sedan kami City, Civic dan Accord di Malaysia kini lengkap," katanya.

Model baharu itu tampil dengan tiga variasi 2.0VTi, 2.0VTi-L dan 2.4VTi-L, dengan harga atas jalan bermula daripada RM144,800 hingga RM172,800.

"Dengan sasaran jualan 500 unit sebulan itu, Accord dijangka menyokong sasaran jualan keseluruhan Honda sebanyak 90,000 unit tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di Setia Alam, di sini, Rabu.

Katsuto berkata Accord telah direka semula bagi menawarkan penampilan luaran yang lebih canggih dan maskulin dengan reka bentuk bampar depan baharu, lampu puncak LED yang bergaya bagi bahagian depan dan belakang dan rim hitam dan perak dengan dua tona.

"Varian 2.4 VTi-L, berharga RM5,000 lebih murah berbanding model sebelum ini dan dikuasakan oleh enjin revolusi Earth Dreams Technology Honda bagi pemanduan yang lebih memuaskan dan bahan api yang lebih cekap.

"Accord ini akan menjadi model pertama Honda yang didatangkan dengan warna Obsidian Blue Pearl. Ia juga akan dilengkapkan dengan unit Audio Paparan Canggih Sentuh Skrin tujuh inci dengan i-MID, yang sesuai dengan Apple CarPlay dan Android Auto," katanya.

Sementara itu, Katsuto berkata data dalaman Honda menunjukkan Jualan Keseluruhan Kenderaan dari Januari hingga Ogos 2016 turun kira-kira 15 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Dengan jualan dari Januari hingga Ogos berjumlah 55,751 unit, kami berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu kami dalam segmen bukan nasional," katanya.

-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger