Cadangan Waktu Perjalanan Oleh PLUS Sempena Aidiladha, Hari Malaysia Dan Cuti Sekolah


Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersempena cuti musim perayaan bertujuan untuk mengelakkan kenderaan yang menuju destinasi berlainan 'bertembung' di satu-satu lokasi di lebuh raya dan seterusnya menyebabkan kesesakan.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Dato' Noorizah Hj Abd Hamid, "TTA memainkan peranan yang penting dalam membantu mengagihkan trafik di lebuh raya. Apabila ramai mematuhi jadual perjalanan ini, ia dapat mengelakkan kenderaan yang menuju pelbagai destinasi di utara dan selatan bertembung di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama. Lonjakan jumlah kenderaan di lokasi dan pada masa yang sama sering menyumbang kepada kesesakan lalulintas pada musim perayaan dan waktu-waktu puncak."

Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Johor disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu di antara jam 6 pagi hingga 3 petang. Manakala, orang ramai yang menuju ke Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.

"Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Negeri Sembilan dan Melaka tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke Johor di lebuh raya. Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke selatan lebih lancar. Begitu juga untuk perjalanan ke pelbagai destinasi di utara," jelas Noorizah.

PLUS menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari-hari puncak sepanjang perayaan Hari Raya Aidiladha, Hari Malaysia dan musim cuti persekolahan ini. Peningkatan tersebut adalah sebanyak 15 peratus berbanding 1.4 juta pada hari-hari biasa.

"Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan di antara 9 September hingga 19 September ini supaya merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual TTA yang dikeluarkan. Berdasarkan kajian kami pada musim-musim perayaan yang lalu, perjalanan di lebuh raya adalah lebih lancar apabila lebih ramai yang mematuhi TTA," kata Noorizah.

Orang ramai juga boleh merujuk kepada jadual TTA di laman web PLUS di www.plus.com.my, mengikuti laman Twitter PLUSTrafik atau laman Facebook PLUSMiles.

Info Rebat Tol 20 Peratus KLIK SINI

KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ


Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger