LGM - Haramkan Tayar Celup Tidak Relevan


Gesaan beberapa pihak yang mahu kerajaan mengharamkan penggunaan tayar celup disifatkan tidak relevan dan memberi lebih banyak implikasi negatif, terutama kepada industri komersial negara.

Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Inovasi, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr Zairossani Mohd Nor, berkata kajian dan ujian dalam serta luar negara membuktikan tayar celup selamat digunakan, selain mengurangkan isu buangan sisa tayar dan menjimatkan kos.

Katanya, kebanyakan kejadian nahas membabitkan serpihan tayar celup di jalan raya berpunca daripada kegagalan syarikat bas dan lori memastikan tekanan angin berada pada kadar sesuai, selain faktor kelajuan kenderaan.

"Sebagai contoh, tayar lori bersaiz 295/80R22.5 memerlukan tekanan angin daripada 850 kiloPascal (kPa) sehingga 900 kPa, dengan kemampuan menjangkau kelajuan 130 kilometer sejam. 

"Kegagalan memastikan dua perkara itu dipatuhi menyebabkan tayar celup atau tayar biasa cepat rosak, terpisah daripada rangka tayar dan menjadi serpihan di atas jalan raya. 

"Hakikatnya, industri penerbangan juga menggunakan tayar celup dengan tayar bagi kapal terbang direka supaya boleh diguna semula sehingga 11 kali berbanding tiga hingga empat kali bagi lori dan bas, sekali gus membuktikan penggunaan tayar celup bukan sesuatu yang luar biasa," katanya pada sidang media di Bangunan Getah Asli di sini, hari ini. 

Sebelum ini, beberapa pihak tampil meminta kerajaan mengharamkan penggunaan tayar celup bagi mengelakkan pemilik kenderaan berat mengambil kesempatan menggunakan tayar itu daripada kualiti rendah yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Pada Jun lalu, Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM) turut mendedahkan kira-kira 30 peratus daripada 1.2 juta tayar celup diedarkan dalam pasaran tempatan setiap tahun, tidak berkualiti kerana dikeluarkan tanpa mematuhi piawaian serta pengiktirafan sah.

Sumber Berita Harian
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger