Viral : Cerun Runtuh Di Jalan Simpang Pulai Cameron Highlands Adalah Gambar 2014


Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menjelaskan gambar cerun runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, yang menjadi viral dalam media sosial adalah kejadian pada hujung tahun 2014. 

Penjelasan itu dimuat naik di laman Facebook JKR susulan viral berkenaan yang mencetuskan kebimbangan dan rasa ingin tahu mengenai kejadian itu sejak semalam. Kenyataan itu menyebut gambar berkenaan adalah gambar lama yang dirakam di lokasi FT185 Seksyen 44 jalan berkenaan. 

"JKR telah melaksanakan kerja 'bored pile retaining structure' di lokasi berkenaan di bawah seliaan JKR Kinta dan telah siap awal tahun ini," kata kenyataan itu. JKR menjelaskan JKR Kinta akan melakukan tinjauan di laluan itu hari ini. 

Kenyataan itu bagi mengulas mesej dan gambar yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp mengenai runtuhan cerun yang serius yang dikatakan di jalan berkenaan atau Jalan Gua Musang-Cameron Highlands. 

Mesej itu menyebut gambar diambil dari helikopter oleh pasukan doktor udara daerah Kinta. Sementara itu, Pengarah JKR Perak, Jamilol Nasir Saad, yang dihubungi malam tadi, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berlakunya pergerakan cerun di jalan berkenaan seperti berita dan gambar yang menjadi viral di laman sosial. 

Katanya, ada dua lokasi di laluan itu iaitu Seksyen 44 dan 46 di mana kerja struktur dilakukan. "JKR Perak tidak menerima sebarang laporan berlaku pergerakan cerun di laluan itu khususnya membabitkan dua seksyen berkenaan. Bagaimanapun, disebabkan perkara ini menjadi viral, kita akan periksa semula," katanya.

sumber - Utusan / JKR
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger