Pemeriksaan Berkala Mandatori Terhadap Pengangkutan Awam Oleh Miros


Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan mengkaji sama ada pemeriksaan berkala mandatori terhadap pengangkutan awam oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), perlu ditambah.

Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, pada masa ini pemeriksaan berkala mandatori pengangkutan awam hanya diadakan dua kali setahun, dan dengan menambah kekerapan pemeriksaan berkala itu, ia mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan berkenaan.

“Kita akan kaji keperluan untuk menambah kekerapan pemeriksaan kenderaan yang kini hanya mewajibkan pengusaha pengangkutan awam menjalani rutin itu di Puspakom sekali dalam tempoh enam bulan, serta aspek yang boleh ditambah baik.

“Ia bukan sahaja melibatkan tempoh pemeriksaan tetapi juga faktor ekonomi seperti tambahan kos penyelenggaraan yang akan ditanggung pengusaha sekiranya ia dilakukan lebih kerap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila diminta mengulas kemalangan melibatkan sebuah bas ekspress yang merempuh 10 kenderaan lain di KM265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan selepas Terowong Menora, Ahad lalu yang dipercayai berpunca daripada masalah kegagalan brek bas terbabit.

Shaw Voon berkata, kemalangan pada Ahad lalu tidak boleh dikaitkan dengan keadaan jalan di lebuh raya itu yang dikatakan berbahaya kerana pihak berwajib telah mengambil langkah keselamatan tertinggi untuk menyelenggara laluan berkenaan.

“Pengguna yang menggunakan kawasan berisiko kemalangan seperti di laluan berhampiran Terowong Menora itu sepatutnya lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan diri serta pengguna lain.

“Pemandu kenderaan awam mahupun persendirian perlu tahu apa yang perlu dilakukan sewaktu melalui kawasan curam seperti itu dengan bertindak memperlahankan kelajuan kenderaan mengikut kadar had laju ditetapkan serta menggunakan gear rendah,” katanya.

Pada tahun ini, sebanyak lima kemalangan termasuk yang terbaru pada Ahad lepas dilaporkan berlaku berhampiran Terowong Menora arah selatan. Daripada lima kemalangan itu, dua melibatkan kemalangan maut.

– Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger