Kemalangan Bas Langgar 10 Kenderaan - Pemandu Dibebaskan


Pemandu bas persiaran yang merempuh bahagian belakang 10 kenderaan lain berhampiran Terowong Menora Ahad lalu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman empat hari berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, pemandu berkenaan yang berumur 51 tahun belum boleh didakwa kerana polis belum menerima laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Kami telah merujuk kertas siasatan kes kepada timbalan pendakwa raya semalam dan apabila laporan (Puspakom) siap kami akan rujuk semula kepadanya," katanya di sini, hari ini.

Menurut Sum, pihak polis juga telah mengambil keterangan semua pemilik kenderaan serta penumpang bas yang terlibat untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, bas tersebut merempuh 10 kenderaan lain di Kilometer 265.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan kerana dipercayai mengalami masalah brek.

Semua 28 penumpang bas, pemandu dan penumpang kenderaan lain selamat kecuali hanya seorang wanita berumur 21 tahun yang mengalami kesakitan di bahagian perut.

Bas persiaran itu mempunyai 63 saman tertunggak atas pelbagai kesalahan, manakala pemandu berkenaan memiliki sembilan saman tertunggak atas pelbagai kesalahan termasuk memandu laju sejak 2011 hingga 2015.

- BERNAMA


Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger