SMART Tawar Diskaun Tol 10 Peratus Sempena Aidilfitri


Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) akan menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus bersamaan 30 sen kepada semua pengguna lebuh raya itu sempena Aidilfitri tahun ini.

Kadar tol selepas diskaun adalah RM2.70 berbanding kadar biasa RM3 untuk setiap laluan masuk dan keluar di ibu negara.

Pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun mulai jam 6 pagi pada 6 Julai hingga 6 pagi hari berikutnya.

Ketua Pegawai Operasi Lebuh raya SMART, Sharifah Alauyah Wan Othman, berkata diskaun tol diberikan adalah sebagai menghargai pengguna yang menggunakan Lebuh raya SMART pada hari raya.

"Ini adalah antara tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat menjelang Aidilfitri tahun ini khususnya kepada pengguna setia lebuh raya kami," katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Sharifah Alauyah berkata, pihaknya juga ingin memberi penjelasan berhubung kejadian banjir kilat di Jalan Raja Chulan, Jalan Kelapa Muda, Segambut dan Jalan Duta, baru-baru ini adalah di luar kawasan sistem SMART.

Katanya, sistem SMART berfungsi mengelak banjir di sebahagian kawasan lembangan Sungai Klang iaitu di Masjid Jamek, Leboh Ampang, Dataran Merdeka, Jalan Melaka, Dang Wangi, Leboh Pasar, Pasar Seni dan Daya Bumi.

Untuk sebarang makluman lanjut atau status operasi Terowong Lebuh raya SMART, pengguna lebuh raya boleh melayari laman web SMART di www.smarttunnel.com.my , atau di laman Facebook SMART Tunnel, Twitter @Smarttunnel dan berhubung di talian bebas tol 1300 - 88 - 7188.

-Berita Harian
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger