Panduan Perjalanan Untuk Cuti Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2016 Oleh PLUS

[klik untuk besarkan imej]

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan cuti perayaan Aidilfitri yang akan datang. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

“Justeru itu, kami telah mengatur pelbagai strategi untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa dan lancar pada musim perayaan ini,” kata Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid.

Sepertimana pada tahun-tahun lalu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Hari-Hari Puncak iaitu di antara 1 Julai hingga 10 Julai ini.

TTA merupakan pendekatan PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat. Ia adalah berdasarkan kajian PLUS terhadap pola perjalanan orang ramai pada musim-musim perayaan yang lalu.

Jadual tersebut berperanan mengelakkan orang ramai daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan menyumbang kepada kesesakan.

“Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya ELITE pada Hari-Hari Puncak supaya mengikuti TTA. Berdasarkan kajian kami, apabila ramai yang mematuhi TTA untuk pulang ke kampung dan pulang semula ke kota selepas bercuti, semakin lancar perjalanan di lebuh raya,” kata Noorizah.

Di antara strategi lain untuk mengagihkan trafik adalah menerusi penawaran rebat tol sebanyak 30 peratus pada 4, 8 dan 11 Julai,” tambah Noorizah.

Rebat tol 30 peratus ditawarkan sepanjang hari bagi pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol menggunakan sistem elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG) pada 4, 8 dan 11 Julai. Rebat ini diberikan untuk perjalanan jarak jauh (melebihi 100 kilometer) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya ELITE.

Sebagai contoh, perjalanan dari Plaza Tol Sungai Besi hingga Plaza Tol Skudai membolehkan orang ramai menikmati penjimatan sebanyak RM12.39 dalam bentuk Tambah Nilai seperti berikut:-

Plaza Tol
Masuk
Plaza Tol
Keluar
Bayaran
Tol
Penjimatan Menerusi
Rebat Tol 30%
Yang Layak Dituntut
Sungai Besi
Skudai
RM41.30
RM12.39
Jalan Duta
Ipoh Selatan
RM26.50
RM7.95
Damansara
Juru
RM43.00
RM12.90
Putrajaya
Ayer Keroh
RM17.40
RM5.22
Juru
Ipoh Utara
RM16.80
RM5.04
Seremban
Pagoh
RM16.70
RM5.01

Rebat tol tersebut boleh dituntut di semua Pusat Khidmat Pelanggan di lebuh raya PLUS bermula 15 Ogos hingga 14 November tahun ini.

Selain daripada strategi penyuraian trafik, PLUS turut menyusun pelbagai pendekatan dalam memantapkan operasi dan tahap perkhidmatan pada musim perayaan yang akan datang.

“Di antara langkah-langkah yang akan diambil adalah menugaskan lebih ramai kakitangan di lebuh raya dan pusat kawalan trafik (TMC), menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menempatkan pasukan-pasukan bantuan kecemasan di lokasi-lokasi strategik, pertambahan kawasan meletak kenderaan dan pembukaan tandas bergerak sementara di kawasan-kawasan rehat utama, menyediakan trak-trak tunda tambahan di lokasi terpilih, menempatkan lebih daripada 2,300 kakitangan di plaza-plaza tol, pemantauan trafik dari udara dan lain-lain lagi,” tambah Noorizah.

Selain itu, “PLUS akan membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk melancarkan trafik di laluan-laluan tersebut. Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan kontra tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak Polis”, jelas Noorizah.

Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di Lebuhraya Utara-Selatan menerusi perkhidmatan Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile Apps, talian PLUSLine 1800 88 0000, papan tanda elektronik di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

Noorizah ditemui pada taklimat kepada pihak media berhubung persediaan PLUS menghadapi pertambahan trafik musim perayaan di Persada PLUS, hari ini. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger