Pahang Bakal Menggunakan Nombor Pendaftaran Kenderaan Eksklusif 'VIP'


Kerajaan Negeri Pahang bakal memperkenalkan penggunaan siri nombor pendaftaran kenderaan khas VIP 1 hingga VIP 9999 dalam usaha untuk mengumpul dana bagi tujuan promosi dan penganjuran Tahun Melawat Pahang 2017.

Sumber kerajaan negeri memaklumkan, permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan hak eksklusif bagi siri nombor pendaftaran khas tersebut telahpun diluluskan Kementerian Pengangkutan.

Menurutnya, tujuan penjualan nombor pendaftaran khas VIP atau ringkasan daripada perkataan 'Visit Pahang' itu bertujuan untuk mengutip dana bagi keperluan promosi Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP).

"Ia adalah sebagai salah satu cara untuk mengelakkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan negeri kerana usaha untuk menganjurkan dan mempromosikan TMP memerlukan kos agak tinggi kerana ia akan dilakukan sehingga ke kota London.

"Selain itu kerajaan negeri juga ingin menjadikan nombor pendaftaran siri khas ini sebagai kenangan dan ingatan kepada TMP 2017 pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Selasa.

Katanya, langkah itu juga antara cara untuk mengelakkan pihak penganjur terlalu mengharap kepada tajaan mana-mana pihak yang sudah tentu sumbangannya agak terhad.

Dalam masa yang sama, katanya kerajaan negeri turut mengharapkan jualan terhadap nombor pendaftaran siri khas VIP ini mampu meraih bidaan yang tinggi sama seperti nombor pendaftaran 'F' untuk Putrajaya.

Katanya, kerajaan negeri dijangka membuat sidang media khas bagi memaklumkan perkara itu selepas segala urusan yang berkaitan selesai dengan pihak yang berkenaan.

-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger