Kempen PETRONAS Coffee Break Diperluas Sempena Pulang Ke Kampung


PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) meluaskan PETRONAS Coffee Break, kempen popularnya sempena musim pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, kepada 147 stesen minyak terpilihnya seluruh negara berbanding 40 stesen tahun lalu. 

Kempen paling ditunggu-tunggu pengguna lebuh raya dan jalan utama ke kampung itu turut dimeriahkan dengan pertambahan jumlah barangan yang akan diagihkan, hasil penyertaan lebih banyak syarikat tajaan. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus, berkata kempen kali ke-17 PDB itu akan bermula selama dua hari ketika musim pulang ke kampung pada 2 dan 3 Julai dan musim kembali ke kota raya pada 9 dan 10 Julai. 

Katanya, kempen itu bertujuan memberi peluang kepada pemandu berehat dan menyegarkan badan sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung masing-masing dengan selamat. 

"Kali ini kami tambah jumlah stesen terbabit dan semua stesen itu terletak di lebuh raya dan laluan orang pulang kampung. Justeru, kalau mengantuk dan ingin merehatkan badan silalah ke stesen kami dan dapatkan air serta makanan ringan percuma. 

"Bukan setakat kira-kira 900,000 cawan kopi panas dan makanan ringan akan diedarkan percuma, tetapi juga kepada pemandu kereta Proton boleh mendapatkan pemeriksaan 30-mata percuma dengan kerjasama Proton Holdings Bhd di 10 stesen terpilih. 

"Kami juga menaja 50 ambulans St John dengan minyak Primax 95 bernilai RM20,000 untuk meronda di sepanjang lebuh raya bagi tujuan kecemasan dan melakukan pemeriksaan kesihatan di stesen terpilih," katanya dalam kunjungan PETRONAS Coffee Break, di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur. 

Rombongan beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

-Berita Harian
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger