Honda Malaysia Panggil Balik 147,894 Kenderaan


Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa syarikat itu meneruskan langkah proaktifnya bagi memastikan keselamatan pelanggan, dengan memanggil balik 147,894 unit kenderaan Honda bagi menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan.

"Kerja-kerja penggantian akan dijalankan sebaik alat ganti tersedia. Alat ganti dan caj buruh yang berkaitan dengan panggilan balik ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia," kata Honda Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata model-model keneraan yang terlibat terdiri daripada Accord, yang dikeluarkan antara 2003-2011, City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

Daripada jumlah kenderaan yang terlibat, Accord membabitkan sebanyak 46,832 unit, City 52,345, Civic 23,701, CR-V 15,938, Freed 2,582, Insight 5,053, Jazz 899 dan Odyssey 544.

Honda Malaysia memberi jaminan kepada pelanggan bahawa keselamatan merupakan keutamaan syarikat, dan kesal atas kesulitan yang timbul.

Namun, katanya semua model yang kini dijual tidak terlibat.

Pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat makluman, termasuk butiran mengenai panggilan balik itu.

Mereka yang menerima makluman itu dinasihatkan membawa surat tersebut dan kenderaan masing-masing ke penjual Honda sah terdekat untuk pemeriksaan.

Pemilik Honda juga boleh menyemak status panggilan balik kenderaan masing-masing menerusi talian bebas toll Honda di 1-800-88-2020 atau log masuk ke www.honda.com.my, atau kunjungi mana-mana peniaga Honda yang sah.

-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger