Aduan Industri Automobil Babit Rugi RM800 Juta


Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional‎ (NCCC) menerima 3,816 aduan daripada pengguna seluruh negara berhubung industri automobil, membabitkan kerugian sebanyak RM80 juta tahun lepas.

Pengarah NCCC, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kerugian yang direkodkan menunjukkan peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

"Peningkatan mendadak ini disebabkan pengguna tidak berpuas hati dengan kenderaan yang baru dibeli dan mereka menuntut pembayaran balik atau pertukaran model kereta yang baharu sepenuhnya," katanya selepas pelancaran Laporan Tahunan NCCC 2015 di sini hari ini.

Turut hadir Eksekutif Polisi dan Undang-Undang NCCC Mandeep Singh dan Shabana Naseer Ahmad.

Katanya aduan yang paling banyak diterima melibatkan kenderaan model berjenama luar negara dan ini menunjukkan pusat perkhidmatan pelanggan (syarikat automobil) di negara ini tidak sensitif terhadap aduan penggunanya.

Turut terkandung dalam laporan itu sebanyak 44,540 aduan melibatkan pelbagai sektor iaitu produk pengguna am, telekomunikasi, pelancongan dan pembelian atas talian dengan jumlah anggaran kerugian berjumlah RM233.76 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2015.

"Pihak NCCC menjalinkan kerjasama erat dengan agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kementerian Kesihatan dan sebagainya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pengguna. NCCC berjaya menyelesaikan 70 peratus aduan yang diterima pada 2015," katanya. - Bernama

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger