Syarikat China Ambil Peluang Masalah Dihadapi Takata


Sebuah syarikat yang kurang dikenali dari China merebut peluang daripada krisis beg udara global yang menyelubungi Takata Corp dari Jepun, dengan membeli syarikat bersaiz kecil dari Amerika Syarikat (AS) dalam pertaruhan bahawa akan berlaku rombakan dalam industri oligarki itu. 

Ditubuhkan pada 2004 oleh usahawan Wang Jianfeng, Ningbo Joyson Electronic Corp berkembang menjadi pembekal komponen automotif terbesar China, dengan pelanggan utama termasuk General Motors Co dan Volkswagen AG. 

Ningbo membeli Key Safety Systems, pembekal beg udara berpangkalan di AS, membabitkan pertimbangan tunai AS$920 juta (RM3.767 bilion) daripada firma ekuiti swasta Februari lalu, tiga bulan selepas pengawal selia AS mengenakan denda ke atas Takata dan mengarahkannya menamatkan pengeluaran bahan dorong pengembang beg udara yang dikaitkan dengan 11 kematian.

Autoliv Inc dari Sweden, Daicel Corp dari Jepun, ZF Friedrichshafen AG dari Jerman dan Key Safety adalah antara syarikat yang meningkatkan pengeluaran bagi membekal syarikat automotif yang memerlukan penggantian kepada sekurang-kurangnya 66 juta bahan dorong pengembang beg udara buatan Takata itu selain melengkapkan model akan datang dengan beg udara yang lebih selamat. 

Sementara itu, Takata, berkemungkinan berhadapan tuntutan ganti rugi bernilai berbilion dolar bagi kos kenderaan yang dipanggil semula, manakala ia sudah pun melantik penasihat luar bagi pelan penstrukturan semula syarikat. 

"Ia amat sukar bagi Takata untuk pulih dan syarikat itu berkemungkinan berhadapan krisis kebankrapan," kata Tang Yuxin, ketua pegawai eksekutif Ningbo, dalam satu temu bual menerusi telefon. 

"Semua ini bagaikan anugerah dari langit untuk kami memasuki industri itu. Perkongsian pasaran yang sebelum ini dibahagikan di antara empat peserta kini dikongsi tiga peserta. Sehubungan itu terdapat peluang besar daripadanya" 

Pasaran global bagi ciri-ciri bantuan pemanduan seperti amaran pelanggaran dan brek kecemasan automatik pada kereta diunjur meningkat sekali ganda kepada AS$17 bilion (RM69.62 bilion) dalam pendapatan tahunan menjelang 2021, demikian menurut penyelidik IHS Automotive. 

Dikalangan pasaran komponen keselamatan automatik, beg udara dikuasai tiga syarikat iaitu Takata, Autoliv dan ZF Friedrichshafen. Sungguhpun adalah pasaran terbesar dunia bagi jualan kenderaan, China belum lagi berkeupayaan mengeluarkan kenderaan atau bekalan peralatan automotif yang kompetitif di peringkat global. - Bloomberg
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger