Guna Getah Untuk Turap Jalan Bermula Tahun Ini


Pembinaan jalan melalui kaedah alternatif dengan menggunakan getah bekuan sebagai bahan tambah dalam campuran asfalt akan dimulakan tahun ini, kata Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Mohd Akbar Md Said. 

Beliau berkata, sebanyak 4.2 tan 'cuplumps' atau getah beku adalah anggaran diperlukan untuk turapan satu kilometer jalan, yang mana getah yang bersesuaian dengan ciri-ciri bitumen dan campuran asfalt dijadikan pengganti kepada bahan tambah polimer. 

Langkah itu katanya, adalah antara usaha bagi menstabilkan harga getah, mengatasi lebihan bekalan dan mengurangkan impak kejatuhan harga ke atas pendapatan hampir 300,000 orang pekebun kecil getah di Malaysia. 

"Sasaran kami ialah membina 1,000 kilometer jalan, merangkumi jalan ladang dan jalan negeri. Penggunaan bahan getah dalam turapan asfalt adalah bahan alternatif yang lebih baik lagi kos ekonomik," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bengkel Getah Khusus Untuk Produk Getah Mesra Alam anjuran bersama LGM dan FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV), pagi ini. Yang hadir sama Pengerusi LGM, Datuk Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah; Naib Presiden FGV, Datuk Abdul Halim Hamid; dan Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Rubber Industries Sdn Bhd (FRISB). 

Pada masa ini kebanyakan pembinaan turapan asfalt di negara ini menggunakan bitumen asli gred 80/100 dan 60/70 sebagai bahan pengikat dalam campuran asfalt. Getah bekuan diperoleh secara langsung daripada pokok getah tanpa perlu melalui sebarang proses. 

Malaysia bercadang menggunakan 10 peratus daripada bekalan getah untuk pembinaan jalan mulai 2016. Terdahulu dalam ucapannya, Muhammad berkata industri getah amat memerlukan inovasi yang dapat menggalakkan pertumbuhan kukuh dan menggerakkan industri ke tahap berikutnya. 

Beliau berkata, ia menjadi lebih penting terutamanya dalam kemunculan persaingan sengit daripada negara seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan India yang berkemampuan menghasilkan produk getah pada kos yang jauh lebih rendah. 

Sehubungan itu, pembangunan produk seperti Ekoprena dan Pureprena bagi tujuan komersial diperkenalkan kerajaan bagi menambah nilai produk getah yang dihasilkan, selain menangani kebimbangan global berhubung perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari. 

Penggunaan Ekoprena, katanya disasarkan kepada segmen penghasilan tayar dan produk getah berkejuruteraan tinggi. Muhammad berkata, FRISB diberi lesen oleh LGM untuk menghasilkan Ekoprena dan Pureprena, yang mana kerajaan memperuntukkan RM5 juta sebagai geran permulaan untuk pembinaan kilang memproses Ekoprena dan Pureprena secara komersial yang pertama. 

Pengkomersialan Ekoprena dan Pureprena, katanya bertujuan membolehkan FRISB mengeluarkan getah khusus itu pada kapasiti awal 12,000 tan setahun sehingga 300,000 tan setahun menjelang 2020. 

FRISB akan mengumumkan usaha sama baharu berkaitan aktiviti hiliran getah tidak lama lagi. Penggunaan getah dalam campuran asfalt bukanlah satu perkara baru bagi di Malaysia. Jalan yang dibina menggunakan asfalt bercampur getah ini mula dibina seawal 1950-an melalui pembinaan tapak percubaan di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai. 

Kemuncak penggunaan getah dalam turapan jalan pada skala besar adalah semasa pembinaan Jalan Pekeliling dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 1995.

Sumber BH Online
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger