Perodua rai pembukaan kilang automotif hijau pertama Asia Tenggara


Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad, Perodua melangkah setapak lagi dalam usaha menjadi pemain industri global.

Terbaru, ia secara rasminya membuka Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. (PGMSB), yang merupakan kilang pembuatan automotif hijau pertama di Asia Tenggara.

PGMSB yang memulakan pembinaannya pada Mac 2013 dengan keluasan 64,000 meter persegi itu menelan belanja RM1.3 bilion.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim, pembinaan PGMSB merupakan antara pelan transformasi utama Perodua untuk menjadi jenama global yang kompetitif terutama dalam aspek kualiti, kos pengurusan dan penghantaran.

Antaranya konsep pemasangan automasi hijau yang digunakan dalam 75 peratus pembuatan kenderaan keluarannya.

"Kami mengadaptasi teknologi dari Jepun dan ia merupakan kilang automotif hijau pertama dengan sijil pengesahan tenaga efisien pertama di Asia Tenggara," ujar beliau.

PGMSB telah memulakan produksi bermula Ogos 2014 dan setakat Disember 2015 sebanyak 138,000 buah Perodua Axia telah dihasilkan di kilang ini bagi memenuhi permintaan seluruh negara.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata Perodua telah mengambil langkah-langkah awal sekiranya negara bersetuju menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Perodua katanya telah mula menjalankan agenda transformasi syarikat bermula 2011 bagi mempersiapkan syarikat tersebut menghadapi TPPA.

"Kita telah mula membuat persiapan serta langkah-langkah dalam menghadapi TPPA sejak 2011 lagi dan telah pun melalui fasa pertama pelan transformasi syarikat dalam mendepani TPPA, iaitu pelan lima tahun bermula 2011 hingga 2015 ," kata Aminar Rashid.

Beliau menambah Perodua turut menjadikan syarikat rakan kongsinya dari Jepun, Daihatsu sebagai penanda aras dalam menepati standard antarabangsa selain mula menjalankan pelan transformasi fasa kedua bagi tahun 2016-2020.

Dalam pada itu Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin juga berharap perkongsian pasaran oleh pengeluar tempatan akan mencapai lebih 50 peratus.

"Kita harap kereta jenama nasional akan mencapai perkongsian pasaran melebihi 50 peratus. Ini kerana kereta nasional seperti Perodua dan Proton mempunyai tahap lokalisasi yang tinggi.
"Sebagai contoh Perodua ketika ini membeli alatan pemasangan pada nilai RM5 bilion dari luar. Oleh itu, lebih besar volum bagi kereta nasional, lebih banyak peluang bagi vendor tempatan dan oleh itu kita perlu meluaskan pasaran kereta tempatan," kata Asmat

Beliau menambah pasaran yang lebih besar akan mempersiapkan syarikat automotif nasional dalam ekpsort.

Beliau berkata demikian pada sidang media pembukaan rasmi PGMSB, kilang pembuatan automotif hijau pertama di Asia Tenggara di Rawang pada Selasa.

Pembukaan kilang tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger