KTM perkenalkan 12 perkhidmatan baharu ETS, diskaun tiket 25 peratus


Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad akan memperkenalkan 12 perkhidmatan baharu Tren Elektrik (ETS) mulai 18 Jan ini bagi memenuhi permintaan pengguna, selain menawarkan diskaun 25 peratus bagi tren tertentu.

KTM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata terdapat tujuh perkhidmatan baharu setiap hari iaitu bagi perkhidmatan jenis Gold, terdapat empat perjalanan iaitu dari Ipoh ke KL Sentral berlepas pukul 7.30 pagi dan tiba pada 9.50 pagi; Butterworth ke KL Sentral (berlepas 3 petang dan tiba 6.52 petang) dan dua perjalanan KL Sentral ke Butterworth iaitu 9.15 pagi dan tiba 1.07 petang serta 8 malam dan tiba 11.52 malam.

"Bagi perkhidmatan jenis Platinum pula, terdapat tiga perjalanan tren setiap hari iaitu dari Butterworth ke KL Sentral (berlepas 5 pagi, tiba 8.35 pagi); Padang Besar ke KL Sentral (berlepas 9.30 pagi, tiba 2.25 petang) dan KL Sentral ke Padang Besar (berlepas 11 pagi, tiba 3.55 petang)," menurut kenyataan itu.

KTM turut menambah satu perkhidmatan pada hari Isnin hingga Khamis iaitu perkhidmatan jenis Gold, dari KL Sentral ke Ipoh yang berlepas pada pukul 5.30 petang dan tiba pada pukul 7.50 petang.

Selain itu, perkhidmatan jenis Gold turut diperkenalkan bagi hari Jumaat hingga Ahad iaitu empat perjalanan disediakan dari KL Sentral ke Ipoh (berlepas 11.40 malam, tiba 2 pagi); KL Sentral ke Butterworth (berlepas 5.30 petang, tiba 9.30 malam); Padang Besar ke KL Sentral (berlepas 5.15 petang, tiba 11.05 malam) dan Butterworth ke Ipoh (berlepas 9.45 malam, tiba 11.24 malam).

Menurut kenyataan itu lagi, semua tiket perjalanan bagi perkhidmatan baharu tren ETS itu dibuka mulai Khamis.

Mengenai diskaun tiket 25 peratus ke atas tambang perjalanan dewasa, KTM berkata promosi itu mula dijadual hari ini bagi perjalanan pada 18 hingga 30 Jan.
Pemberian diskaun tiket itu adalah bagi perkhidmatan ETS Platinum No.9231  bagi perjalanan Butterworth ke KL Sentral pada harga RM62 (harga asal RM79), Bukit Mertajam ke KL Sentral RM60 (harga asal RM77) dan Nibong Tebal ke KL Sentral RM57 (harga asal RM73).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-22671200 atau melayari laman sesawang di www.ktmb.com.my.

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger