Harga Proton Dijangka Naik Selepas Tahun Baharu Cina


Proton Holdings Bhd berkemungkinan menaikkan harga kereta keluarannya selepas sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, berikutan peningkatan kos mengimport komponen ekoran penyusutan ringgit. 

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata buat masa ini, syarikat itu masih mengekalkan harga jualan sedia ada bagi membolehkan pelanggan menikmati kereta baharu pada musim perayaan itu. 

"Kita cuba kekalkan harga sebanyak yang boleh dan kami berharap memberi peluang kepada semua pelanggan untuk membeli kereta Proton untuk Tahun Baharu Cina," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Pelantikan Pengedar Baharu Proton di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM), Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Pengarah Urusan Suzuki Malaysia Automobile, Masashi Fukuda. 

"Prospek jualan PROTON pada tahun lalu adalah tidak begitu baik dan kita memerlukan rangkaian kukuh untuk menyokong jualan model baharu yang akan diperkenalkan tidak lama lagi," katanya. 

Abdul Harith berkata, empat model baharu akan dikeluarkan pada tahun ini yang akan meletakkan PROTON pada tahap baharu dengan disokong oleh rangkaian kukuh. "Kita akan memastikan cadangan harga yang diletakkan akan menjadi sangat kompetitif. 

Kesediaan produk juga adalah sangat penting di mana kita akan pastikan dihasilkan dengan teknologi dan kualiti yang baik," katanya. Berhubung harapan PROTON pada tahun ini, Abdul Harith berkata, syarikat itu menyasarkan untuk menghasilkan 250,000 kereta sejajar pengenalan beberapa model baharu pada tahun ini, berbanding kira-kira 100,000 kereta tahun lalu. 

"PROTON mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 300,000 kereta di Shah Alam, Selangor dan Tanjung Malim, Perak dan tugas utama kita adalah memenuhi kapasiti terbabit," katanya. Dua tahun lalu, syarikat membelanjakan sebanyak RM2.2 bilion untuk perbelanjaan modal (capex) yang merangkumi pembangunan kereta serta enjin baharu dan ia sedang berjalan sekarang.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger