SPAD Umum Kadar Khas 10 Peratus, Lebih Daripada Kadar Biasa Bagi Bas Ekspres Sempena Hari Raya


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meluluskan kadar khas sebanyak 10 peratus, lebih daripada kadar biasa, bagi perjalanan bas ekspres bermula 10 Julai hingga 27 Julai ini. Langkah itu bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres tidak tergendala selain memenuhi permintaan perkhidmatan yang meningkat berikutan bas-bas tambahan perlu dibekalkan pada musim perayaan yang bakal menjelang tiba.

"Selain itu, kelulusan ini mengambil kira pelbagai faktor seperti menambah baik tahap pengendalian bas-bas tambahan, memperkemaskan sistem pengawasan bas ekspres dan mengekalkan mutu perkhidmatan bas ekspres bagi tujuan menjamin keselesaan dan keselamatan penumpang pada musim perayaan," menurut kenyataan itu.

SPAD turut mengumumkan kesemua bas ekspres tambahan pada musim perayaan ini yang bertolak dan tiba di Kuala Lumpur akan menggunakan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Suruhanjaya itu turut menasihati pengguna supaya membeli tiket bas di kaunter tiket yang sah sahaja, bagi mengelak penipuan dan kegiatan ulat tiket selain menyimpan keratan tiket perjalanan sebagai bukti.

"Tiket yang sah adalah yang dicetak komputer, serta mempunyai nama syarikat dan nombor bas yang akan dinaiki penumpang. Pengguna diminta untuk memeriksa maklumat yang tertera pada tiket dan mengesahkannya semasa di kaunter pembelian.

"Bagi penumpang yang akan menaiki bas tambahan pula, mereka boleh memeriksa nombor pendaftaran bas berkenaan sepertimana yang telah didaftarkan dengan SPAD melalui lampiran yang dipamerkan di kaunter penjualan tiket," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa pihaknya akan terus meningkatkan lagi pemantauan dan operasi penguatkuasaan sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan jumlah bas mencukupi dan penumpang dapat menikmati perjalanan yang selamat dan selesa.

Pengguna perkhidmatan bas ekspres juga boleh membuat aduan ke talian SPAD 1-800-88SPAD (7723) sekiranya terdapat sebarang perkara yang menjejaskan perkhidmatan, keselamatan dan keselesaan perjalanan mereka pada musim perayaan ini.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger