JKJR Perak Agih 1,100 Topi Keledar Percuma

[gambar sekadar hiasan]

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) memperuntukkan sejumlah 1,100 unit topi keledar untuk diagih secara percuma kepada penunggang dan pembonceng motosikal di Perak sepanjang tahun ini.

Pengarah JKJR negeri Laila Mazwin Zakaria berkata topi keledar itu bertujuan menggantikan topi keledar lama yang tidak lagi selamat digunakan oleh penunggang dan pembonceng semasa kempen keselamatan jalan raya, terutama menjelang musim perayaan.

"Daripada 1,100 topi keledar itu, 300 daripadanya diperuntuk kepada kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas kempen itu di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, penunggang motosikal menerima minyak pelincir sumbangan Petronas, pelekat pemantul cahaya dan jaket keselamatan.

Katanya, setiap minggu sebanyak 30 topi keledar akan diagih kepada penunggang motosikal bagi memastikan mereka memakainya dengan cara yang betul.

Laila Mazwin berkata program kempen keselamatan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sukarelawan JKJR.

Beliau berkata program itu diadakan seminggu sekali di setiap daerah di Perak dalam usaha menyedarkan penunggang motosikal betapa pentingnya penggunaan topi keledar.

Selain itu, katanya, langkah berkenaan diharap akan mengurangkan kadar kemalangan.

Laila Mazwin juga mengalu-alukan orang ramai yang ingin menjadi sukarelawan untuk menyertai kempen itu dan mereka boleh menghubungi pejabat JKJR di talian 05-2496 960.

Setakat ini, JKJR mempunyai sejumlah 282 sukarelawan, katanya.

- Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger