PROTON, LOTUS GROUP dan GOLDSTAR Tandatangani Perjanjian Usahama


PROTON Holdings Berhad syarikat induk Lotus Group, mengumumkan bahawa ia telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan Lotus Group International Limited, United Kingdom  dan Goldstar Heavy Industrial Co Ltd untuk pengembangan perniagaan kereta Lotus di Republik Rakyat China. Kerjasama ini bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan kereta Lotus dalam segmen premium sport di China, selain memanfaatkan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Wilayah Fujian. PROTON dan Lotus Group adalah anak syarikat DRB-HICOM Berhad.

Pengerusi PROTON dan bekas Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak PROTON,  dan disaksikan oleh Dato ‘Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON. Bagi pihak Lotus Group pula diwakili oleh Encik Jean-Marc Gales, Ketua Pegawai Eksekutif dan disaksikan oleh Encik Rohime Shafie, Pengarah Lotus Group dan Ketua Pegawai Kewangan PROTON.  Pihak Goldstar diwakili oleh Encik Zheng Qianghui, yang merupakan Pengerusi Goldstar dan disaksikan oleh Encik Zhai Wenliang, Presiden Goldstar.

Dato ‘Abdul Harith Abdullah berkata, “Perjanjian usaha sama ini akan melihat penubuhan syarikat usaha sama baharu bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R & D) dalam penggunaan teknologi yang cekap dan termaju. Syarikat ini akan menghasilkan dan menjual kereta penumpang berjenama Lotus selain juga menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang berkaitan dengan produk-produknya di Republik Rakyat China.

“Pasaran automotif di China adalah yang terbesar di dunia pada hari ini, dan ianya masih berkembang, oleh itu adalah wajar untuk sebuah syarikat seperti Lotus ditubuhkan untuk memulakan dan  mengembangkan pasarannya. “tambah Dato ‘Harith.

“Pada April 7, 2015, Lotus mengumumkan 55% peningkatan dalam jualan kereta bagi tahun kewangan 2014/15, berbanding dengan tahun sebelumnya dengan 36 pengedar baharu dilantik dalam tempoh 2014/15. China telah muncul sebagai pasaran utama eksport Lotus dan ia dijangka berkembang dengan cepat. Lotus Group amat teruja dengan peluang baharu daripada usaha sama ini. “ulas Jean-Marc Gales . Lotus akan terus mengeluarkan pelbagai kereta sport Lotus model terbaharunya seperti (Evora, Exige dan Elise) secara eksklusif di Ibu Pejabat di Hethel, England.


Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger