Proton Jemput Ahli Perniagaan Sertai Program Penambahan Wakil Jualan 3S


PROTON Holdings Bhd melalui unit milik penuhnya PROTON Edar Sdn Bhd mengalu-alukan ahli perniagaan yang berminat untuk menyertai program penambahan wakil jualan 3S (jualan, penyelenggaraan dan alat ganti) baharu kumpulan itu.

Program baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha transformasi PROTON yang berterusan di seluruh negara untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan.

Pihak yang berminat boleh menghantar borang permohonan lengkap, dokumen syarikat yang relevan dan dokumen sokongan kepada Bahagian Perancangan dan Pembangunan Rangkaian PROTON Edar (maklumat lanjut boleh didapati di www.proton-edar.com.my).

Permohonan dibuka sehingga 31 Mei, 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata program 3S merupakan sebahagian daripada perancangan pengembangan kumpulan itu.

"Melalui pelan pertumbuhan kami, rangkaian wakil jualan kami perlu menjadi rasional bagi mengekalkan rangkaian pengedar yang kukuh dan menguntungkan untuk PROTON.

"Di bawah program itu, rangkaian semasa 413 outlet kami, termasuk gabungan Pusat 3S, boleh mewujudkan rangkaian yang sihat dengan menumpukan bidang pasaran utama," katanya.

Abdul Harith berkata pada masa ini, PROTON sedang membentuk semula rangkaian prasarananya untuk lima tahun akan datang melalui program penambahan wakil jualan.

Beliau berkata ia adalah untuk mengatasi pelbagai masalah dalam rangkaian pengedaran semasa syarikat seperti produktiviti rendah, ketidakcekapan proses operasi dan ketaksamaan di peringkat perkhidmatan kepada pelanggan.

"Rasionalisasi berkenaan akan menjadikan perniagaan lebih menguntungkan dan berdaya saing untuk wakil jualan, di samping menyedikan pelanggan dengan pengalaman pemilikan yang terbaik," tambah beliau.

-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger