Kerajaan Tidak Bercadang Tingkat Had Laju Di Lebuh Raya


Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan had laju kebangsaan di lebuh raya kerana reka bentuk geometri jalan raya di Malaysia hanya sesuai untuk kelajuan kenderaan 120 kilometer sejam (km/j).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kriteria penetapan had kelajuan kenderaan di negara ini ditentukan berdasarkan beberapa faktor setelah mengambil kira reka bentuk jaringan jalan raya dan lebuh raya memenuhi piawaian ditetapkan.

"Kadar had laju yang diwartakan di jalan raya dan lebuh raya di negara ini bertujuan memastikan tahap keselamatan pengguna secara keseluruhan.

"Ini kerana aspek keselamatan merupakan antara faktor utama dalam menentukan had kelajuan di sesuatu lokasi seperti di kawasan berkepadatan tinggi, kawasan menghampiri plaza tol, susur keluar dan kawasan angin lintang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) mengenai had laju kebangsaan kenderaan di lebuh raya perlu ditingkatkan memandangkan kenderaan semakin berkualiti dan berkelajuan tinggi pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rosnah berkata cadangan itu juga dilihat tidak perlu kerana hanya 10 peratus kenderaan di negara ini berada dalam kategori berkelajuan tinggi.

Kementerian, katanya sentiasa berbincang bersama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pengangkutan dari semasa ke semasa bagi mengkaji had kelajuan yang diwartakan namun ia tertakluk kepada nasihat daripada agensi berkaitan termasuk kelulusan kerajaan.

Had laju kebangsaan yang ditetapkan adalah 110km/j bagi lebuh raya antara bandar, 90km/j (lebuh raya dalam bandar) dan 90km/j (jalan persekutuan), katanya.

Rosnah berkata kerajaan memandang serius soal keselamatan jalan raya berdasarkan kepada statistik kemalangan yang masih di tahap serius, termasuk yang membabitkan kemalangan maut. Berdasar statistik, pada 2012 sejumlah 4,753 kemalangan maut direkodkan, kemalangan parah (8,430) dan kemalangan ringan (6,702) manakala pada 2013 pula, kemalangan maut (4,484), kemalangan parah (2,870) dan kemalangan ringan (4,931).

-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger