Harga Kereta Secara Keseluruhan Lebih Murah Dengan GST – Kastam

Secara keseluruhannya harga kereta akan menjadi lebih murah selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan 1 April, kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Beliau menjelaskan CBP hanya enam peratus sahaja manakala cukai jualan kenderaan ketika ini ialah 10 peratus. Cukai jualan kenderaan akan dimansuhkan pada 1 April, katanya.

Khazali memberitahu Bernama, kesangsian berhubung sama ada harga akan naik atau turun wujud susulan terdapat kekeliruan dalam kalangan pengedar kereta berhubung bagaimana mereka hendak menjual kereta yang mereka telah bayar cukai jualan kereta sebanyak 10 peratus.

“Sebenarnya, Kastam akan membayar balik cukai jualan 10 peratus yang telah dibayar oleh mereka dengan syarat mereka harus menunjukkan dokumen rasmi sebagai bukti yang mereka telah membayar cukai itu dan masih belum menjual kereta berkenaan setakat 31 Mac,” katanya.


Presiden Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Kredit Kuala Lumpur-Selangor (KLSCDCCA), Khoo Kah Jin berkata, beliau tidak menjangkakan penurunan ketara harga kereta kerana perbezaannya mungkin diimbangi oleh harga komponen kereta yang diimport berikutan kadar tukaran asing lebih tinggi.

“Harga kereta memang akan turun iaitu dua hingga tiga peratus dengan GST,” katanya.

“Namun, harga itu mungkin akan naik sedikit bergantung kepada kadar tukaran asing kerana kebanyakan komponen kereta adalah diimport, contohnya Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun,” katanya.

Khoo berkata bagi kereta terpakai, harganya juga dikenakan GST namun dimasukkan ke dalam Skim Margin bagi mengelakkan pembayaran cukai berganda.

“Pembeli (kereta terpakai) tidak akan terjejas dengan kenaikan harga kerana GST hanya dikenakan ke atas pengedar kereta terpakai berdasarkan keuntungan daripada jualan kereta.

“Sebagai contoh pengedar kenderaan terpakai membeli sebuah kereta dari seorang individu dengan harga RM30,000, kemudian menjualnya semula kepada individu lain dengan harga RM60,000, maka GST akan dikenakan ke atas kadar keuntungan RM30,000 itu sahaja,” katanya.
Share this article :

+ comments + 1 comments

25 Mac 2015 11:58 PG

yang mana lebih penting lah

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger