Ford Catat Prestasi Bulan Februari yang Terbaik Setakat Ini di Malaysia


Ford hari ini mengumumkan prestasi jualan terbaik untuk bulan Februari di Malaysia dengan jualan runcit keseluruhannya melonjak sebanyak 66 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 1,249 unit. Prestasi itu disumbang oleh permintaan berterusan yang kukuh ke atas trak pikap Ranger yang mendefinisikan kelasnya. 

“Ranger yang memenangi anugerah terus menerajui jualan seluruh rangkaian produk kami. Ia membolehkan kami untuk mengalu-alukan lebih ramai pelanggan di Malaysia ke dalam keluarga Ford, memandangkan momentum kami terus meningkat,” kata Pengarah Urusan, Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, David Westerman. 

Sebagai trak pikap nombor dua paling laris di Malaysia, Ranger yang versatil dilihat terus popular dengan jualan runcitnya melonjak sebanyak 104 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 966 unit.

“Para pelanggan memberitahu kami bahawa mereka sangat menghargai ciri-ciri keselamatan yang mendahului kelasnya dan kemampuan luar biasa yang ada pada Ranger. Trak pikap ini boleh digunakan untuk membawa ahli keluarga di Kuala Lumpur atau mengangkut beban yang berat di Sarawak,” kata Westerman.

Menawarkan pakej keselamatan yang tiada tandingan dalam segmennya di Malaysia, seluruh rangkaian model Ranger dilengkapi ciri keselamatan pasif dan aktif. Ini termasuklah beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan. Di samping beg udara sisi dan belakang pada varian Wildtrak. Ranger juga dipasang dengan ciri Electronic Stability Control (ESC) Ford pada semua variannya dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak dalam model Wildtrak, XLT dan XL Double Cab. 

Model Fiesta yang sporty pula mencatat jualan sebanyak 129 unit pada Februari. Ia diterajui oleh varian 1.0L EcoBoost yang menawarkan prestasi, penjimatan bahan api dan kadar emisi yang mendahului kelasnya. 

Fiesta menawarkan pakej keselamatan yang paling komprehesif dalam kelasnya. Ini termasuklah tujuh beg udara, selain padat dengan teknologi pintar seperti sistem ketersambungan di dalam kereta,  SYNC yang memenangi anugerah. SYNC membolehkan pemandu membuat panggilan telefon dan mengawal sistem hiburan di dalam kereta secara bebas tangan, hanya menggunakan arahan suara. 

SUV kompak urban, EcoSport pula menyumbang jualan sebanyak 66 unit pada Februari. EcoSport menggabungkan aspek kelincahan, mampu milik dan penjimatan sebuah kereta penumpang kompak dengan fleksibiliti, gaya serta posisi pemanduan yang tinggi sebuah SUV. 

“Ini sememangnya tempoh yang mengujakan buat Ford di Malaysia. Kami akan terus komited untuk mengembangkan perniagaan serta menawarkan pengalaman pemilikan yang terbaik kepada para pelanggan,” tambah Westerman.  



Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger