‘Autonomous drive’ Mampu Bantu Atasi Kemalangan Maut – MIROS


Bagi mencapai sasaran sifar kemalangan maut, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mencadangkan sistem ‘Autonomous Driving’ atau teknologi kenderaan pandu sendiri diaplikasikan dalam semua kenderaan di negara ini menjelang 2030.

Pegawai Kanan Penyelidik MIROS, Khairil Anwar Abu Kassim berkata sekiranya sistem itu dilengkapi di dalam semua kenderaan, ia dijangka mampu membantu pemandu lebih berhemah di atas jalan raya.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan, hampir 80 peratus kemalangan yang berlaku dalam negara adalah berpunca daripada faktor kecuaian pemandu, antaranya tidak mematuhi had laju, mengantuk ketika memandu, tidak bertimbang rasa dan mabuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel pada sesi dialog berkaitan peranan trak dan bas dalam menyumbang kepada pemanduan selamat di jalan raya, di sini pada Selasa.

Menurut Khairil Anwar, sebelum ini pelbagai pihak telah menyumbang untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemanduan selamat, namun pelbagai faktor luaran terus menyumbang kepada kes-kes kemalangan jalan raya.

“Pertambahan jumlah kenderaan, faktor kepesatan pembangunan dan teknologi juga antara punca yang mempengaruhi kemalangan dan paling membimbangkan apabila menyebabkan kematian.

“Ramai yang masih menggunakan telefon ketika memandu selain tekanan jiwa ketika berhadapan dengan kesesakan lalu lintas menyebabkan ramai yang tidak sabar lantas hilang fokus memandu,” katanya.

Dalam usaha menangani isu itu, kepesatan teknologi seperti kewujudan sistem ‘autonomous driving’ dilihat mampu membantu pemandu ketika penat atau cuai, seterusnya mengelak berlakunya kemalangan.

“Teknologi ini telah ada di Sweden dan German, ia mampu memacu kenderaan secara automatik ketika pemandu hilang fokus dan boleh membantu memberi isyarat sekiranya akan berlaku pelanggaran”.

Sistem pintar itu meliputi kebolehan kenderaan untuk mengesan persekitaran, sistem komputer dan kawalan GPS (Global Positioning System), katanya.

“Kita tidak boleh menolak perkembangan teknologi dalam bidang automatif, jadi antara persediaan MIROS bagi mengawal kelemahan manusia ialah melihat kepada perkembangan aplikasi pintar ini untuk digunakan kelak,” katanya.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger