Harga Minyak Dijangka Naik April Depan


Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) memaklumkan harga minyak (RON 95 dan 97) di pasaran dijangka meningkat selepas suku pertama tahun ini berikutan peningkatan harga minyak mentah dunia.

Presidennya, Datuk Hashim Othman menyatakan pihak persatuan tidak terlibat dalam menetapkan harga bahan api tersebut dan hanya akan mengikut harga yang diselaraskan oleh kementerian yang berkaitan.

“Hanya Kerajaan yang mengambil bahagian dalam penentuan harga bahan api berkenaan.

“Sehingga kini, kita masih tidak tahu mengenai penyelarasan harga baru untuk April,” katanya kepada Malaysian Digest, hari ini.

Sementara itu, jurucakap rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ketika dihubungi Malaysian Digest memaklumkan bahawa penyelarasan harga baru bagi bahan api petrol ditetapkan Kementerian Kewangan selepas sistem apungan dilaksanakan sejak Disember lalu.

Dalam perkembangan lain, Hashim sebelum ini meluahkan kebimbangan ekoran penurunan harga bahan api dengan menyatakan peniaga mengalami kerugian antara RM20,000 dan RM100,000 kesan kejatuhan harga minyak pasaran.

Malah, sehingga kini harga petrol terus mengalami penurunan iaitu RON95 turun sebanyak 21 sen seliter manakala RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter dan diesel turun 23 sen, mulai 1 Februari 2015.

Menerusi pengumuman tersebut, harga minyak seliter adalah RM1.70 untuk petrol RON95, RM2 bagi RON97 dan RM1.70 bagi diesel.

Difahamkan, harga minyak mentah dunia juga meningkat kepada paras AS$ 60 (RM216.50) setong berbanding harga sebelum ini iaitu AS$ 48 setong dan ini memberi bayangan kemungkinan harga minyak akan meningkat.

Malaysian Digest
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger