Ford Catat Rekod Jualan Di Rantau ASEAN Pada Tahun 2014


Ford Motor Company hari ini mengumumkan jualan keseluruhan untuk rantau ASEAN pada tahun 2014 telah meningkat kepada lebih lima peratus berbanding tahun sebelumnya dengan rekod 100,824 unit.

Jualan Ford di pasaran ASEAN dipacu oleh prestasi tahun 2014 di Filipina, Vietnam, Malaysia, Kemboja dan Myanmar. Di samping peningkatan perkongsian pasaran di Thailand, biarpun industri domestiknya menunjukkan penurunan yang ketara. 

“Ketika kami terus berkembang di seluruh rantau ASEAN – termasuklah pertambahan bilik pameran Ford, rangkaian model kenderaan dan paling penting pasukan kami yang berbakat di pasaran-pasaran yang dinamik ini – kami mampu memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan baharu Ford. Sekali gus mengukuhkan kewujudan jenama bertaraf dunia kami,” kata Presiden Ford ASEAN, Matt Bradley. 

Jualan Ford di ASEAN diterajui oleh trak pikap yang mendefisikan semula segmennya dan dibina di Thailand iaitu Ford Ranger. Ia menjadi trak pikap terlaris di Filipina, Vietnam, Kemboja, Myanmar dan kedua paling laris di Malaysia.

Jualan Ranger di seluruh rantau ASEAN meningkat sebanyak 10 peratus sejak setahun lalu kepada 50,190 unit. 

“Penampilannya yang rugged, versatiliti dan kemampuan sebenar trak pikap yang luar biasa ini dilihat terus menarik perhatian pelanggan dari pelbagai latar belakang di seluruh ASEAN. Trak pikap ini nyata mampu memenuhi keperluan dan kehendak tugas serta gaya hidup mereka,” tambah Bradley.  


Jualan Ford pada tahun 2014 juga menerima lonjakan melalui pelancaran SUV urban kompak, EcoSport serba baharu. Ia sememangnya menawarkan satu kenderaan serba baharu di pasaran ASEAN. 

EcoSport yang baru sahaja dilancarkan pantas menjadi model kedua terlaris Ford di pasaran-pasaran utama seperti Thailand, Filipina, Vietnam, Malaysia dan Indonesia dengan jualan mencecah 18,149 unit pada tahun 2014.

“EcoSport telah mengembangkan bilik pameran kami dan membolehkan jenama Ford untuk berhubung dengan pelanggan baharu di seluruh rantau ini,” kata Bradley.  


Peningkatan Penguasaan Pasaran, Catat Rekod Jualan  
Thailand terus menjadi peneraju dalam senarai prestasi keseluruhan Ford di ASEAN dengan mencatat jualan sebanyak 38,087 unit sepanjang tahun lalu. Di sebalik pasaran domestik yang cukup perlahan, Ford terus mengatasi industri Thailand secara keseluruhannya pada tahun 2014, sekali gus membantu meningkatkan penguasaan pasaran sepanjang tahun lalu  sebanyak 0.5 peratus kepada 4.4 peratus.    

Ford mengakhiri tahun yang kukuh di Thailand dengan peningkatan jualan selama tiga bulan berturut-turut, termasuklah pada bulan Disember yang menyaksikn peningkatan hampir 20 peratus kepada 3,471 unit.

Di Filipina, Ford menunjukkan prestasi jualan memberangsangkan untuk dua tahun berturut-turut dengan jualan runcitnya melonjak sebanyak 53 peratus kepada 20,341 unit. Jualan pada Disember meningkat sebanyak 56 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 1,903 unit. Sekali gus menjadi prestasi suku tahunan terbaik Ford di Filipina sehingga kini.   

Di Vietnam, Ford mempamerkan prestasi dengan jumlah jualan runcit meningkat sebanyak 71 peratus kepada 13,988 unit sepanjang tahun lalu. Ini termasuklah jualan pada bulan Disember yang meningkat sebanyak 64 peratus (jualan bulanan terbaik setakat ini) dengan 1,650 unit.

Tahun 2014 yang luar biasa juga membantu Ford menambah perkongsian pasarannya di Vietnam kepada 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 8.9 peratus.  

Selain Ranger yang menjadi trak pikap terlaris di Vietnam, Transit juga mengakhiri tahun lalu sebagai van komersial paling laku di Vietnam. 

Di Malaysia, Ford mencatatkan prestasi tahunan yang memberangsangkan untuk dua tahun berturut-turut dengan jualan runcit keseluruhan menokok sebanyak 31 peratus kepada 13,938 unit. Di Indonesia, jualan Ford sepanjang tahun lalu naik lebih 14 peratus kepada 11,614 unit.

Ford terus menyaksikan pertumbuhan signifikan di pasaran-pasaran membangun seperti Myanmar, Kemboja dan Laos dengan jualan kolektifnya meningkat sebanyak 31 peratus kepada 2,161 unit. Ini termasuklah rekod jualan sepanjang tahun lalu untuk pasaran Kemboja dan Myanmar. Ford turut menyaksikan jualannya meningkat sebanyak 14 peratus berbanding tahun sebelumnya di Singapura. 

“Kami akan terus memanfaatkan semua sumber serta produk portfolio global Ford untuk memperkenalkan teknologi-teknologi terkini di Thailand dan ke seluruh ASEAN,” jelas Bradley. “Ford benar-benar komited untuk membangun dan mempromosikan kenderaan serta teknologi yang mampu meningkatkan penjimatan bahan api dan mengurangkan emisi karbon. Di samping membantu menyokong kelestarian alam sekitar dan menawarkan pelanggan pilihan serta manfaat yang lebih baik.” 

Ford yakin bahawa momentum di pasaran ASEAN akan berterusan pada tahun 2015. Terima kasih kepada transformasi berasaskan kepada produk yang berterusan, terutama menerusi pelancaran SUV Everest serba baharu dan Ranger baharu di seluruh rantau ini. 


Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger