Turun Harga Minyak Durian Runtuh Bagi Asia Pasifik


PENURUNAN lebih 40 peratus harga minyak mentah pada masa ini sebenarnya menjadi durian runtuh kepada rantau Asia Pasifik, kata agensi penarafan Standard & Poor's Ratings Services (S&P).

Kenyataan itu terkandung dalam laporannya bertajuk Asia-Pacific's Oil Windfall -- Save or Spend and What It Means yang disiarkan hari ini.

Menurut agensi itu, habuan dalam bentuk pendapatan boleh guna kepada rantau utama pengimport tenaga api penting itu boleh diterjemah kepada pertumbuhan lebih tinggi, namun bergantung kepada sama ada perolehan itu dibelanjakan atau sebaliknya disimpan.

"Tindakan membelanjakan habuan durian runtuh itu boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi ekonomi utama manakala menyimpannya pula hanya memberi sedikit atau tiada rangsangan langsung untuk mencatat Pertumbuhan," kata Ketua Pakar Ekonomi S&P, Paul Gruenwald.

Usaha pengimportan tenaga itu berbeza aspek kepentingannya bagi ekonomi rantau itu.

Singapura misalnya lebih menyerlah apabila mencatatkan defisit perdagangan minyak sebanyak 13 peratus daripada KDNK, namun negara ekonomi lebih besar seperti Korea dan India mencatatkan defisit dagangan minyak kira-kira 5.0 peratus daripada KDNK mereka.

Thailand mencatatkan defisit kedua terbesar di rantau itu dengan merangkumi 7.6 peratus daripada KDNK. Negara lain seperti Malaysia dan Vietnam, masing-masing mencatatkan lebihan dan defisit perdagangan minyak.

Dari segi nilai, China dan Jepun mendominasinya dengan nilai import minyak menghampiri US$300 bilion.

Jika sebahagian besar habuan durian runtuh harga minyak itu dibelanjakan, kesan terhadap KDNK adalah yang tertinggi di Filipina, Hong Kong, China serta Thailand.

Bagi kumpulan ekonomi ini, kejatuhan harga minyak mentah Brent kepada US$65 setong selama setahun, boleh meningkatkan sektor pengeluaran sebanyak satu pertiga atau 1.0 peratus dan lebih.

India dan Korea akan menyaksikan peningkatan KDNK sekitar satu perlima daripada satu peratus.

"Ekonomi negara ini berkemungkinan mencatatkan defisit perdagangan minyak lebih besar yang menggambarkan kebergantungan lebih tinggi terhadap minyak. Kami dapati kesan terhadap KDNK bagi baki rantau itu adalah neutral.

"Kami mengecualikan Jepun daripada analisis berikutan kejadian bencana alam baru-baru ini dan kesannya terhadap kapasiti penjanaan tenaga mereka," katanya.

Laporan itu, turut mengakui penurunan ketara harga minyak itu berpotensi memberikan lonjakan terhadap KDNK di Asia Pasifik.

Ini berikutan momentum di rantau itu agak lesu pada akhir 2014 disebabkan pertumbuhan China yang perlahan manakala perdagangan dunia pula masih belum pulih.

Justeru, sekali pun lonjakan kecil terhadap kegiatan ekonomi berkaitan, ia sememangnya menjadi sesuatu yang positif.

Persoalannya, apakah penerima durian runtuh kesan penurunan harga minyak itu akan membelanjakannya atau menyimpan? Ia bagaimanapun, kata laporan itu, bergantung kepada unjuran mereka terhadap masa depan dan hala tuju harga minyak berkenaan. - Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger