Teknologi Baharu Bantuan Pra Pelanggaran Dengan Pengesan Pejalan Kaki Ford Bantu Pemandu Mengelak Berlakunya Pelanggaran Dari Arah Hadapan


Ford Motor Company memperkenalkan satu sistem bantuan pemandu baharu yang mampu mengurangkan keseriusan atau mengelakkan perlanggaran dari arah hadapan yang melibatkan kenderaan dan pejalan kaki. 

Bantuan Pra-Pelanggaran (Pre-Collision Assist) dengan Pengesan Pejalan Kaki (Pedestrian Detection) menggunakan teknologi radar dan kamera untuk mengimbas jalan di hadapan. Sekiranya kemungkinan risiko pelanggaran dengan kenderaan atau pejalan kaki dikesan, ia akan memberi amaran kepada pemandu. Jika pemandu tidak memberi maklum balas dalam masa yang sepatutnya, sistem ini akan menekan brek kenderaan sepenuhnya secara automatik untuk membantu mengurangkan keseriusan atau mengelakkan berlakunya pelanggaran dari arah hadapan. Sistem Bantuan Pra-Pelanggaran boleh membantu para pemandu mengelak daripada melanggar bahagian belakang kenderaan lain dalam apa jua kelajuan. Sementara Pengesan Pejalan Kaki pula membantu pemandu mengelak daripada melanggar pejalan kaki pada kelajuan lebih rendah. Kedua-dua teknologi ini mampu mengurangkan keseriusan pelanggaran dari arah hadapan atau mengelak kemalangan. 

“Teknologi ini menambah senarai teknologi bantuan pemanduan Ford yang sudah pun cukup mengagumkan. Ia boleh dimanfaatkan oleh para pelanggan mulai hari ini,” kata Naib Presiden Kumpulan, Pembangunan Produk Global Ford, Raj Nair. 

Teknologi Bantuan Pra-Pelanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki akan melakukan debut pada model Ford Mondeo 2015 yang mula dijual di pasaran Eropah pada tahun ini. Ia kemudian akan dipasang pada model-model Ford dan Lincoln yang lain di seluruh dunia. 

Walaupun sistem baharu ini mungkin berupaya membantu pemandu terutamanya pada situasi-situasi yang tidak dijangka, ia bagaimanapun tidak menggantikan pemandu dan mempunyai limitasi tersendiri. Ini termasuklah pada waktu malam, kondisi cahaya yang malap, kenderaan bergerak dari arah berbeza dan dalam keadaan cuaca tertentu.


Mengesan pejalan kaki 

Pada hari siang dengan kondisi cuaca yang baik, teknologi baharu ini mampu mengesan manusia yang berada di hadapan atau berhampiran jalan raya, atau pejalan kaki yang melintasi laluan kenderaan. Jika seorang pejalan kaki dikesan di hadapan kereta dan kemungkinan berlakunya kemalangan adalah tinggi, pemandu akan menerima amaran bunyi dan visual dahulu. Seandainya pemandu tidak memberi maklum balas, sistem akan meningkatkan tahap respons brek dengan mengurangkan jarak di antara pad dan cakera brek. Jika masih tidak ada respons daripada pemandu, brek akan ditekan secara automatik dan kelajuan kenderaan dikurangkan. 

Sistem ini memproses maklumat yang dikumpul oleh kamera yang dipasang pada cermin utama serta radar yang diletak di bahagian bampar. Ia kemudian menganalisa maklumat berdasarkan kepada pangkalan data bentuk tubuh pejalan kaki bagi membantu membezakan manusia daripada pemandangan dan objek yang biasanya ada di tepi jalan. 

Pasukan jurutera Ford telah menguji sistem ini di litar ujian tertutup menggunakan patung yang lengkap berpakaian untuk menggantikan pejalan kaki. Mereka kemudian menghabiskan masa selama berbulan-bulan untuk menambah baik teknologi ini di atas jalan di seluruh dunia, demi menguji keupayaan sistem tersebut dalam kondisi dunia sebenar. 

“Ujian dunia sebenar merupakan satu bahagian penting dalam pembangunan teknologi ini. Ini kerana pejalan kaki dalam setting urban boleh mewakili rangkaian potensi situasi yang luas,” kata Pengurus Teknologi Bantuan Pemandu Ford, Scott Lindstrom. “Kami telah menjalankan ujian melibatkan jarak lebih 300,000 batu di tiga buah benua yang mewakili rangkaian setting dan situasi yang luas.” 

Antara teknologi bantuan pemandu lain yang ditawarkan oleh Ford termasuklah bantuan sistem lane-keeping aid, Blind Spot Information System (BLIS®) dengan amaran trafik bersilang, kawalan jelajah adaptif (adaptive cruise control), amaran pelanggaran dengan sokongan brek  dan bantuan parkir aktif (active park assist). Maklumat lanjut mengenai teknlogi-teknologi ini, sila layari laman web: www.ford.com.

KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ




Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger