Pemeriksaan Percuma 40,000 Proton Exora Bold CFE Susulan Kemungkinan Kebocoran Sambungan Radiator


PROTON Holdings Berhad (PROTON) mengumumkan perkhidmatan pemeriksaan percuma membabitkan 40,000 model Proton Exora Bold CFE yang dikeluarkan antara October 2011 hingga April 2014 susulan kemungkinan berlaku kebocoran pada sambungan radiator kenderaan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, langkah itu dilakukan selepas mendapat maklumbalas daripada pelanggan dan pihak pengurusan PROTON mengambil langkah pencegahan dengan melakukan pemeriksaan percuma bahagian berkenaan bagi tujuan keselesaan pemilik.

“Pemeriksaan percuma ini adalah komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan dan tanggungjawab kami di bawah Program Jaminan Kualiti PROTON.

“Setakat ini, kami tidak dimaklumkan mengenai sebarang kemalangan, kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku susulan isu berkenaan dan berharap pelanggan memahami langkah ini dilakukan untuk memastikan keyakinan berterusan terhadap keselamatan serta prestasi kenderaan keluaran kami,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pemilik kenderaan Proton Exora Bold CFE disarankan menghubungi mana-mana pusat servis bertauliah PROTON di seluruh negara untuk melakukan temu janji manakala semua kos buruh dan alat ganti akan ditanggung oleh PROTON. Pelanggan boleh menghubungi talian 1800 888 398 atau e-mel ke customercare@proton.com bagi sebarang pertanyaan atau bantuan.

Beliau berkata, PROTON juga akan menghantar surat bagi memaklumkan perkara berkenaan kepada pelanggan yang terbabit dan amat berterima kasih di atas sokongan serta kesabaran bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

- Harian Metro
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger