Harga Minyak Petrol Dan Diesel Dijangka Turun Bawah RM2 Seliter


Harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun di bawah paras RM2 seliter menjelang 1 Januari 2015 sekiranya harga minyak di pasaran dunia terus menurun.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, harga runcit tersebut mampu dicapai memandangkan purata bagi 18 hari bulan ini menyaksikan harga bahan bakar berkenaan di pasaran dunia berada di bawah paras RM2 seliter.

“Jika harga pasaran dunia masih berada di bawah paras RM2 seliter dalam tempoh 10 hari lagi, maka pada 1 Januari ini, harga runcit RON95 dan diesel akan dijual pada harga bawah RM2 seliter.

“Ini satu berita baik kepada rakyat sekiranya purata minyak dunia terus kekal sedemikian dalam tempoh 10 hari,'' katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan dan Dialog Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) peringkat Parlimen Rembau di Inititut Latihan Pedas, di sini hari ini.

Jelasnya, harga purata minyak dunia berada di bawah paras RM2 seliter berbanding harga runcit RON95 yang ditetapkan sebanyak RM2.26 seliter dan RM2.23 seliter bagi diesel.

“Oleh itu tidak perlu untuk pergi berdemo pada 31 Disember ini, kerana kita sudah ada pengiraan tentang hal itu,'' katanya.

Mulai 1 Disember lalu, tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan bakar itu memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga jualan di stesen minyak negara.

Bermula dari tarikh berkenaan, harga runcit RON97 turun sembilan sen seliter kepada RM2.46 seliter dan harga runcit RON95 turun empat sen seliter kepada RM2.26 seliter manakala harga runcit diesel dinaikkan kepada tiga sen seliter kepada RM2.23 seliter.

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger