Ford Umum Senarai Penerima Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar 2014 di Malaysia


Ford Motor Company bersama rakannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini mengumumkan senarai penerima Program Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar 2014 (CEG) di Malaysia. 

11 penerima ini bakal menerima geran berjumlah RM150,000 untuk melaksanakan projek-projek pemeliharaan, pemuliharaan dan pendidikan. 

Sudah memasuki tahun ketujuh di Malaysia, Ford telah menerima 53 permohonan untuk CEG 2014 daripada pelbagai organisasi merangkumi sekolah, universiti, NGO, kumpulan-kumpulan komuniti dan entiti awam. 

“Jumlah dan kualiti permohonan yang kami terima pada tahun ini menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia ingin memainkan peranan aktif dalam memulihara persekitaran mereka. Justeru, Ford berbesar hati untuk membantu usaha-usaha ini,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Pasaran Membangun Asia Pasifik dan Malaysia, Ford Motor Company, David Westerman.

Senarai 11 penerima geran:  

1. Ecocentric Transitions, menerima geran berjumlah RM9,750 bagi projek ladang cacing yang direka untuk menghasilkan baja dan membiakkan cacing kompos mereka. Ladang tersebut adalah sebahagian daripada sebuah taman dan mendapat penglibatan aktif daripada para pelajar dari sekolah-sekolah berhampiran. 

2. EcoKnights, menerima geran berjumlah RM20,700 bagi tujuan Kem Wira Kelestarian Alam Sekitar yang melengkapkan golongan muda dengan pengetahuan  untuk hidup lebih mapan dan menyebarkan mesej tersebut kepada rakan-rakan mereka. 

3. Fakulti Sains Gunaan, Universiti UCSI, menerima geran berjumlah RM11,250  untuk projek CAREton yang mengumpul bekas-bekas minuman sebelum dikitar semula menjadi atap genting rumah-rumah Orang Asli.

4. Juara Turtle Project, menerima geran berjumlah RM 9,900 untuk program pendidikan dan aktiviti meningkatkan kesedaran mengenai usaha pemuliharaan penyu laut di  Pulau Tioman.

5. Nature Classroom, menerima geran berjumlah RM9,300 untuk projek Selamatkan Rumput Laut Pulang Pinang: Kutip Rumput Laut Kita! bagi membantu memulihara rumput laut Pulau Pinang yang sering dipinggirkan dengan cara mendidik orang awam. 

6. Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA), menerima geran berjumlah RM9,900 untuk kerjasama di antara PIFWA dan kumpulan-kumpulan nelayan tempatan seperti Penaja Nelayan Jeti Warisan Ewa, Langkawi, Kedah dan Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Tanjung Berembang dalam usaha memelihara, melindungi dan memulihara hutan paya bakau melalui pendidikan, kesedaran serta aktiviti menanam pokok kayu bakau. 

7. Pertubuhan Muafakat Warga Desa, menerima geran berjumlah RM12,600 untuk projek mendidik para pelajar mengenai pemeliharaan hutan paya bakau serta melatih renjer-renjer dalam kalangan komuniti yang lebih luas. 

8. Jabatan Perhutanan Sarawak, menerima geran berjumlah RM20,700 untuk Program Pendidikan Pemuliharaan mereka yang komprehensif di Taman Negara Bukit Lambir. Program itu melibatkan beberapa buah sekolah, agensi dan komuniti tempatan. Ia juga merupakan sebahagian daripada Pusat Penerokaan Interaktif di taman tersebut. 

9. SMK Sultan Ibrahim, Johor, menerima geran berjumlah RM5,400 untuk projek  Go Green with Lat yang memberi para pelajar pengalaman pembelajaran interaktif bersama kartunis Lat. Mereka akan menghasilkan material-material pendidikan untuk diedar dan dipamerkan di sekitar Johor Bahru.

10. Tatana Roots, menerima geran berjumlah RM30,300 untuk melatih renjer mereka dalam usaha meningkatkan kapasiti dan menjalankan aktiviti-aktiviti sebagai sebahagian daripada projek Dokumentasi Pengetahuan Tradisional Orang Dusun Tatana di Sabah. Projek ini melatih para peserta tentang bagaimana untuk memulihara eskosistem persekitaran mereka, memelihara warisan budaya dan membina masa depan yang mapan. 

11. Waste2Gold dari Universiti Tunku Abdul Rahman, menerima geran berjumlah RM10,200 untuk projek Ekonomi Kopi: Menukar Sisa Kopi Menjadi Emas. Projek ini bermatlamat mengurangkan jumlah sisa kopi terbuang menerusi kejuruteraan pemuliharaan dan diguna semula untuk tujuan pertanian oleh golongan kurang berkemampuan. 

Pemilihan para penerima geran pada tahun ini dibuat oleh panel juri bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang pemuliharaan. 

Mereka termasuklah Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna; Pengurus Besar Wild Asia, Gonthong Lourdesamy; Pengarah Jabatan Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Ismail Harun serta Ketua Jabatan Biologi UPM yang juga penasihat program Pendidikan Alam Sekitar yang dilaksanakan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Profesor Ahmad. 

Ford pula diwakili oleh Pengurus Zoo Negara Malaysia, Yogeswaran Gurusamy. Manakala  SDAC diwakili oleh Pengurus Jenamanya, Calvin Foong.  

Mengenai Program Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar 2014 Ford
Sejak melancarkan program geran global pada tahun 1983, Ford telah menyumbang lebih  AS$5 juta dalam bentuk geran untuk projek-projek alam sekitar di lebih 60 buah negara di Asia Pasifik, Caribbean, Amerika Tengah, Asia Barat dan Puerto Rico.

“Legasi Ford yang sentiasa mengambil berat berakar umbi sejak penubuhan syarikat ini lagi. Jadi, geran ini merupakan salah satu cara untuk kami membantu menambah baik alam sekitar dan kehidupan masyarakat setempat,” jelas Westerman. 

Di Asia Pasifik sahaja, Ford telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan inisiatif-inisiatif berkaitan alam sekitar. Program Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar telah menjadi acara tahunan di beberapa pasaran seperti Sri Lanka, Hong Kong, Kemboja, Laos, Myanmar dan Mongolia hinggalah ke Tahiti dan Fiji.  

Ford Motor Company komited dalam memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang serta menyediakan penyelesaian pintar yang menyumbang kepada kelestarian planet ini. Inisiatif seperti program Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar Ford merupakan bukti terhadap komitmen dalam menggalak, menyokong serta memberi ganjaran kepada individu, kumpulan dan organisasi tidak berasaskan keuntungan demi mencapai matlamat yang sama.   



Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger