Subsidi Minyak RON95 Dihapuskan Mulai 1 Disember


Kerajaan memutuskan penetapan harga runcit bagi RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal mulai 1 Disember ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek.

"Subsidi bagi RON95 akan dihapuskan dan harga minyak akan bergantung kepada harga pasaran dunia.

"Ini bermakna, jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Harga runcit petrol RON95 kini ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Kaedah pengapungan terkawal sudah dilaksanakan bagi petrol RON97 yang mana harganya turun 20 sen baru-baru ini sejajar dengan penurunan harga minyak mentah dunia.

Hasan berkata harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Mekanisme Harga Automatik (APM) sejak 1983.

Melalui APM, kerajaan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu iaitu perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit.

Memberi contoh, beliau berkata, harga purata RON95 yang direkodkan pada pasaran dunia dari 1 hingga 19 November 2014 ialah RM2.27 seliter, berbanding harga di pam RM2.30.

Penetapan harga RON95 dan diesel pada 1 Disember nanti bergantung pada harga purata pasaran minyak dunia sepanjang November.

"Dalam hal ini kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 30 November dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember," katanya sambil menambah ada kemungkinan harga runcit RON95 pada Disember akan lebih rendah daripada harga semasa sekiranya harga minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan.

Penetapan harga runcit RON95 dan diesel melalui kaedah pengapungan terkawal akan dibuat secara bulanan.

"Kita akan pantau setiap hari harga di pasaran dunia tetapi kita ambil purata sebulan dan waktu itu kerajaan buat keputusan sama ada naik atau turun.

"Harga mungkin turun mungkin naik tetapi trend sejak bulan-bulan lepas stabil dan menurun," katanya sambil menambah kerajaan sudah membuat kajian pelaksanaan mekanisme apungan terkawal untuk RON95.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger