Pos Malaysia Kemuka Pelan Cadangan Subsidi Bahan Api


Pos Malaysia Bhd sudah menyerahkan permintaan untuk cadangan kepada kerajaan bagi menguruskan program rasionalisasi subsidi bahan api negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata syarikat berharap akan dipilih untuk kontrak berkenaan.

"Kami sedang menunggu jawapan daripada kerajaan. Mereka sedang menilainya sekarang," katanya selepas pelancaran portfolio baharu perkhidmatan dalam talian Pos Malaysia, EziPoz, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut mengenai cadangan itu.

"Kami berharap kerajaan akan memberi jawapan secepat mungkin. Saya tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai cadangan itu kerana perjanjian kerahsiaan kami dengan kerajaan dan rakan kongsi konsortium," katanya.

Pos Malaysia dan Datasonic Group Bhd bekerjasama untuk membida bagi konsesi untuk mengurus program rasionalisasi subsidi bahan api kerajaan.

Usaha sama Pos Malaysia-Datasonic dan Fuelsubs House Sdn Bhd adalah antara tujuh pihak yang menyerahkan cadangan kepada kerajaan bagi menangani kelemahan dalam sistem pengagihan bahan api bersubsidi ketika ini. - BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger