Malaysia Turunkan Harga Minyak RON95 Jika Harga Minyak Mentah Dunia Turun Pada Paras US$70 Setong


Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata beliau sendiri akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya menurunkan harga minyak RON95 sekiranya harga minyak mentah dunia turun pada paras antara US$70 hingga US$75 setong. 

Beliau berkata penurunan harga tersebut boleh dilaksanakan kerana telah melepasi kadar subsidi yang ditanggung kerajaan. "Saya difahamkan oleh pegawai-pegawai yang menjaga hal subsidi minyak ini, apabila harga minyak pada US$70 hingga US$75 setong, maka ia akan melepasi daripada tahap subsidi RM2.30 seliter. 

"Saya secara peribadi, selaku Timbalan Menteri Kewangan, akan memberikan pandangan kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal supaya menurunkan harga minyak RM2.30 ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup penerangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan taklimat isu semasa Parlimen Masjid Tanah di Alor Gajah, hari ini. 

Ketika ini minyak mentah Brent berada pada paras US$79.41 setong. Ahmad berkata beliau juga akan mencadangkan supaya tiada sebarang cukai jualan dikenakan ke atas minyak berkenaan. "Kenapa tidak perlu cukai jualan ini kerana pada saat dan ketika ini pun kita tidak mengenakan cukai jualan," katanya. 

Dalam pada itu, katanya sekiranya harga minyak berkenaan diturunkan, beliau berharap para peniaga turut menurunkan harga barangan mereka kerana sering kali menjadikan kenaikan harga minyak sebagai alasan menaikkan harga barangan. - Bernama

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger