Malaysia Indonesia Bakal Berganding Jayakan Impian Pengeluaran Kereta Asean


Malaysia dan Indonesia bakal bekerjasama dalam bidang automatif bagi merealisasikan projek pengeluaran dan pembuatan "Kereta Asean" pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

Beliau berkata impian melaksanakan projek itu akan tercapai apabila Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi turut berminat dengan idea Malaysia itu yang bakal menyaksikan pembabitan pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton.

"Kemungkinan kita akan mengkaji usaha projek kereta Asean antara Malaysia dan Indonesia, dan (cadangan) ini telah disambut baik oleh Presiden Jokowi yang mahu idea itu dikaji lebih lanjut".

"Ini bermakna Proton bersama dengan Indonesia melancarkan projek Kereta Asean sebagai projek yang berdaya melalui kajian lebih mendalam," kata beliau kepada media Malaysia di akhir lawatannya ke kota pentadbiran Indonesia ini.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri juga berharap Indonesia di bawah pentadbiran baharu akan terus mengamalkan ekonomi terbuka menerusi dasar ekonomi sedia ada bagi memastikan hubungan perdagangan dua hala yang sedia terjalin akan terus berkembang.

"Saya juga berharap apa-apa penyertaan syarikat-syarkat Malaysia yang sedia ada di Indonesia harus dikekalkan pada tahap sedia ada.

"Dan sekiranya ada apa-apa undang-undang baru (yang hendak diperkenalkan oleh Indonesia), andainya ada, ia tidak akan melibatkan pelaburan yang sedia ada," katanya.

Perdana Menteri turut berharap Malaysia dan Indonesia dapat mengintegrasikan bukan sahaja hubungan sesama rakyat dan politik malahan hubungan ekonomi agar kedua-dua negara dapat memaksimumkan keuntungan daripada kerjasama itu.

Najib berkata Malaysia berazam untuk menjayakan hubungan itu terutama apabila Malaysia bakal memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean pada tahun depan yang antara tumpuannya adalah bagi menyaksikan Asean memiliki pasaran perdagangan yang terbuka dan liberal dalam kalangan negara-negara anggota bagi menarik lebih banyak pelaburan asing ke rantau ini.

dipetik dari bernama
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger