Lima Sebab Kenapa Ford Fiesta ST baharu Mampu Menawarkan Pengendalian Mengujakan



Sejak Henry Ford membina dan menjual kereta pertamanya pada tahun 1903, mesin itu bukan sekadar satu cara untuk bergerak dari poin A ke poin B. Bagi kebanyakan orang, ia telah mengalami evolusi menjadi satu cara hidup, ekspresi dalam mencari keterujaan dan pengalaman memompa adrenalin yang menyeronokkan.

Untuk individu seperti ini, Fiesta ST – tawaran terbaharu Ford kepada dunia jentera hot hatch – hanyalah satu tiket. Bakal tiba di bilik-bilik pameran di Malaysia, Fiesta ST baharu ialah sebuah kereta kompak berprestasi yang menawarkan kuasa sebenar dan responsif. Di sini, ada lima sebab kenapa Fiesta ST merupakan pilihan terbaik untuk pemanduan yang mengujakan – sama ada di atas jalan raya mahupun di litar lumba.

#1: Menerima Pelbagai Anugerah dan Pengiktirafan di Seluruh Dunia 

Disokong oleh 22 anugerah utama di peringkat global, Fiesta ST baharu ialah kereta kompak berprestasi paling banyak menerima pengiktirafan yang pernah Ford hasilkan. Antara pencapaiannya termasuklah dipilih sebagai kereta terbaik UK (Car of the Year UK) oleh majalah BBC TopGear, Sports Car of the Year (Perancis) oleh majalah Echappement dan terbaharu, Automobile Magazine All-Star (US) 2014.

#2: Reka Bentuk Kereta Lumba

Dengan reka bentuk yang agresif dan sporty, Fiesta ST baharu tampil bersama gril dan chin spoiler yang unik, selain penyerap udara baharu di belakang dan penambahan fascia. Ekzos berkembar dengan kemasan krom di bahagian hujungnya, spoiler dipasang tinggi dan rim unik bersaiz 17 inci melengkapkan lagi pakej penampilannya.

Di bahagian kabin, stereng teleskopik membolehkan pemandu berada pada posisi yang hampir sama dengan kebanyakan kereta lumba. Satu unit symposer bunyi menyalurkan bunyi enjin terus ke dalam kabin, memberikan irama yang hebat ketika menikmati kualiti dan respons jentera ini.

Tekan sahaja pedal aloi yang sporty itu ke lantai, pemandu ST akan merasai tujahan kuasa tork yang menolak badan mereka kembali ke tempat duduk Recaro.

#3: Kualiti Pengambilan Selekoh yang Epik

Fiesta ST baharu menawarkan pengendalian seperti jentera perlumbaan dalam sebuah kereta kompak yang berprestasi tinggi. Tahap kekerasan olengan gandar belakang ditingkatkan bagi menambah baik aspek kestabilan ketika mengambil selekoh yang sempit pada kelajuan tinggi. Sementara badannya 15mm lebih rendah berbanding varian Fiesta yang lain.

Menerusi penambahbaikan pada suspensi, cengkaman mekanikal telah berjaya ditingkatkan.  Torque Vectoring Control elektronik pula berfungsi mengurangkan masalah understeer, terutama ketika mengambil selekoh dengan laju. Dengan pilihan tiga tahap Electronic Stability Control (ESC) – off, standard, sport – pemandu boleh memilih jumlah bantuan elektronik untuk disesuaikan dengan kemahuan mereka, tanpa mengira kondisi jalan raya.

Semua ini adalah nilai tambah yang memberikan pemandu ST kualiti pengambilan selekoh yang epik – sama ada di litar lumba mahupun atau di jalan yang bengkang-bengkok.

#4: Stereng yang Tepat dan Responsif

Stereng pada Fiesta ST baharu adalah lebih tepat dan responsif berbanding model Fiesta biasa. Manakala sistem suspensi unik bersama sendi hadapan yang telah diubah suai memberikan nisbah stereng lebih pantas iaitu 13:6:1. Brek cakera berprestasi tinggi pada roda belakang Fiesta ST baharu membantu pemandu mengawal kereta ini setiap masa.

Transmisi manual enam kelajuan menawarkan proses penukaran yang mudah dan lancar. Sekali gus membolehkan mana-mana pemandu menyerlahkan pemanduan agresif mereka.

Pendek kata, Fiesta ST baharu menyediakan maklum balas stereng yang lancar dan pengendalian responsif pada setiap belokan.


#5: Prestasi Tiada Tandingan

Fiesta ST baharu menawarkan prestasi dan rasa sebuah enjin yang dua kali ganda lebih besar berbanding saiznya. Dilengkapi enjin EcoBoost bersesaran 1.6 liter, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 182PS dan tork 240Nm serta mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam tempoh 6.9 saat sahaja. Ia juga hadir bersama fungsi turbo ‘overboost’ – sama seperti yang terdapat pada Ford Focus ST – membolehkannya mencapai tork maksimum 290Nm di atas trek perlumbaan dan kelajuan 220km/j. Fiesta ST dijamin menawarkan DNA perlumbaan Ford sebaik sahaja pemandu memegang sterengnya.

Fiesta ST sudah dibuka untuk tempahan pra-pelancaran pada harga RM149,888.

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.ford.com.my.


KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ




Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger