Kereta Elektrik Pertama Malaysia Bawah RM100,000 Seunit


Kereta elektrik pertama buatan tempatan akan mula dijual menjelang 2017 dengan harga di bawah RM100,000 seunit.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari, berkata kereta elektrik itu akan dibangunkan pengeluar kereta tempatan dengan kerjasama syarikat asing.

Beliau berkata, prototaip kereta itu akan siap menjelang September tahun depan.

"Pengeluaran kereta elektrik akan bermula pada 2016 dan penjualan akan bermula 2017," katanya ditemui selepas pelancaran Sustainable Mobility Conference 2014 di sini hari ini.

Persidangan itu dianjurkan secara bersama Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur dan Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini harga kereta elektrik paling murah berharga sekitar RM140,000, tetapi saiznya kecil dan hanya mampu beroperasi hingga 150 kilometer sekali caj penuh.

"Inisiatif kita pada masa ini adalah mengeluarkan kenderaan elektrik yang mempunyai kemampuan beroperasi 280 hingga 300 kilometer sekali cas penuh dan dijual di bawah RM100,000 seunit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Ahmad Hadri Haris, berkata kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan 100,000 unit kenderaan elektrik menjelang 2020.

Kenderaan elektrik dijangka menguasai 10 peratus daripada jualan keseluruhan kenderaan (TIV) menjelang 2020. Kereta elektrik mampu menjimatkan tenaga hingga 65 peratus.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger