Jualan Oktober Ford terus Meningkat, Didorong oleh Model Ranger, EcoSport, Kuga dan Fiesta


Ford hari ini mengumumkan bahawa jualan pada Oktober meningkat sebanyak dua peratus berbanding bulan lalu kepada 1,209 unit. Peningkatan itu didorong oleh permintaan yang terus kukuh terhadap model Ranger, EcoSport, Kuga dan Fiesta.  

Ford turut mengumumkan mengenai penambahan model tawarannya di Malaysia pada Oktober menerusi pengenalan model Fiesta ST yang dijana oleh enjin 1.6L EcoBoost dan padat dengan pelbagai ciri baharu. Bakal tiba di bilik pameran Ford pada hujung bulan ini, Fiesta ST pasti akan meningkatkan lagi dinamik dan prestasi barisan model Ford di Malaysia. 

“Kami teruja untuk meneruskan pelan pertumbuhan di Malaysia melalui setiap kenderaan global baharu yang kami perkenalkan. Kami juga amat teruja kerana mampu menawarkan para pelanggan dengan lebih banyak pilihan,” kata Pengarah Urusan, Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, David Westerman.

Jualan Ford pada tahun ini sehingga kini telah menokok sebanyak 28 peratus kepada 11,426 unit. Sekali gus meletakkan syarikat di landasan terbaik untuk mencatat rekod jualan tahunan di Malaysia. 

Prestasi jualan bulan Oktober diketuai oleh trak pikap Ranger yang versatil dengan peningkatan jualan sebanyak 11 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 829 unit. Sehingga Oktober, jualan Ranger melonjak sebanyak 46 peratus kepada 6,831unit berikutan permintaan yang memberangsangkan terhadap semua rangkaian modelnya. 

Menawarkan pakej keselamatan yang tiada tandingannya di Malaysia, keseluruhan rangkaian model Ranger kini dilengkapi penambahan ciri keselamatan aktif dan pasif. Ini termasuklah sistem Electronic Stability Program (ESP) Ford pada semua varian. Di samping cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak pada semua varian XLT, XL Double Cab dan Wildtrak. 

“Kami menyifatkan jualan kukuh semua rangkaian model Ranger menyerlahkan lagi aspek versatiliti trak pikap ini,” kata Westerman.

Fiesta baharu yang sporty pula mencatatkan jualan runcit sebanyak 159 unit pada Oktober. Ia membantu meningkatkan jualan pada tahun tahun ini sehingga kini sebanyak 28 peratus kepada 2,750 unit.

Pemintaan kukuh terhadap Fiesta dipacu oleh enjin 1.0L EcoBoost yang berprestasi tinggi. Enjin itu telah memenangi anugerah enjin terbaik antarabangsa (International Engine of the Year) pada tahun ini untuk tiga tahun berturut-turut. Fiesta turut dijana oleh varian enjin global Ford, 1.5L TiVCT. 

SUV urban kompak, EcoSport serba baharu terus mencatatkan peningkatan selepas dua bulan berada di pasaran dengan peningkatan jualan sebanyak lima peratus berbanding bulan September kepada 86 unit. 

“EcoSport serba baharu membantu mendefinisikan satu segmen kenderaan yang baru di pasaran. Ia terbukti popular dalam kalangan pelanggan yang menghargai alternatif untuk kereta kecil,” jelas Westerman.

Jualan SUV Kuga yang penuh gaya pada bulan Oktober menokok sebanyak 10 peratus kepada 73 unit dan menyumbang jualan pada tahun ini sehingga kini menjadi 772 unit. 



Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger