Harga minyak cecah paras terendah dalam 4 tahun


Harga minyak mentah Brent jatuh ke paras hampir AS$72 (RM241) setong hari ini, terendah dalam tempoh empat tahun selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) memutuskan tidak mengurangkan pengeluaran untuk menaikkan harga.

OPEC membuat keputusan itu selepas Arab Saudi menolak cadangan daripada negara anggota yang lebih miskin untuk mengurangkan pengeluaran, sekali gus menyebabkan harga terus jatuh semalaman.

"Langkah Arab Saudi itu mencerminkan pendiriannya untuk membiarkan harga stabil sendiri apabila pasaran dipacu oleh asas permintaan dan penawaran," kata penganalisis dari ANZ dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Brent jatuh kepada AS$72.33 (RM242) setong semalaman, selepas jatuh AS$5.17 (RM17.30) semalam kepada AS$72.58 (RM243). Pada awal sesi dagangan semalam harga minyak mentah itu sudah mencecah AS$71.25 (RM238.40) setong, terendah sejak Julai 2010.

Harga minyak mentah Brent sudah jatuh lebih 37 peratus sejak Jun apabila mencecah paras tertinggi AS$115.71 (RM387) setong, kerana peningkatan pengeluaran minyak syal di Amerika Utara menyebabkan berlaku lebihan penawaran di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi dunia yang menyederhana.

Sementara itu, kontrak minyak Amerika Syarikat (AS) bagi penghantaran Januari jatuh AS$4.86 (RM16.30) kepada AS$68.83 (RM230.30) setong, selepas jatuh ke paras terendah sejak Mei 2010 pada AS$67.75 (RM226.70) dalam awal sesi dagangan di Asia.

Harga minyak mentah AS sudah jatuh 15 peratus pada November, penurunan tertinggi dalam sebulan sejak Mei 2012.

Sementara itu, Rusia menjangkakan harga minyak akan jatuh ke paras bawah AS$60 (RM201) menjelang penghujung separuh pertama tahun depan dan negara itu mungkin mengurangkan pengeluaran antara 200,000 hingga 300,000 tong sehari jika harga kekal rendah.

Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pula berkata negaranya akan terus berkempen mengurangkan pengeluaran hingga harga minyak kembali naik ke paras AS$100 (RM335) setong. - Reuters
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger