Ford Fiesta ST Kini Tiba di Malaysia


Ford hari ini mengalu-alukan kehadiran Fiesta ST yang sudah lama ditunggu-tunggu di semua bilik pamerannya di seluruh negara. Fiesta ST merupakan tawaran terbaharu Ford kepada dunia jentera hot hatch dan menjadi penambahan terkini ke dalam rangkaian produknya di Malaysia. Ia sebuah kereta kompak berprestasi yang menawarkan kuasa sebenar dan responsif.

Ditawarkan pada harga RM149,888 (di atas jalan termasuk insurans) di Semenanjung Malaysia dan RM154,688 di Malaysia Timur, Fiesta ST hanya didatangkan dengan varian tiga pintu dalam tiga warna eksklusif – oren (Molten Orange) hitam (Panther Black) dan biru (Spirit Blue).

“Fiesta ST ialah hot-hatch lengkap anda yang hadir bersama dinamik pemanduan mengagumkan. Selain kuasa dan teknologi EcoBoost dengan rangkaian penuh teknologi pintar dan ciri-ciri keselamatan yang tidak dijangka oleh pelanggan dalam segmen ini. Fiesta ST memenuhi kehendak pemandu yang mahu mencari keseronokan dan pengalaman yang memompa adrenalin, sama ada di atas lebuh raya mahupun di litar lumba,” kata Pengarah Urusan, Pasaran Membangun Asia Pasifik dan Malaysia, Ford Motor Company, David Westerman.  

Enjin I-4 EcoBoost yang berkuasa dan tahan lasak 

Fiesta ST dikuasakan oleh enjin empat silinder EcoBoost bersesaran 1.6 liter yang menawarkan kuasa sehingga 182PS dan tork 240Nm dengan pecutan maksimum 220km/j serta mampu mencatat kelajuan 0-100 km/j dalam tempoh 6.9 saat sahaja. Komponen-komponen di dalam enjin 1.6L I-4 EcoBoost yang tahan lasak seperti aci sesondol yang dipacu oleh tali sawat menawarkan ketahanan luar biasa, tanpa memerlukan pengubahsuaian injap ketika dipandu dalam keadaan normal.  

Ciri-ciri pintar dan menyeronokkan 

Fiesta ST menawarkan pemanduan yang mudah dan menyeronokkan dengan rangkaian ciri pintar seperti Ford SYNC, sistem ketersambungan di dalam kereta yang diaktifkan melalui suara. Ia membolehkan pemandu terus memegang stereng dan fokus ke atas jalan raya ketika memilih muzik kegemaran mereka atau membuat panggilan telefon menerusi arahan suara. 

Satu lagi ciri pintar pada Fiesta ST ialah unit symposer bunyi yang menyerlahkan kualiti bunyi. Tidak seperti sistem pengambilan pengecas turbo konvensional yang tidak memperincikan paten bunyi yang ada, modul ini sebaliknya disambungkan kepada inlet udara yang memisahkan tekanan tinggi dan rendah. Ini bermakna, symposer bunyi tersebut boleh memindahkan bunyi enjin terus ke dalam kabin, sekali gus menawarkan bunyi yang hebat ketika menikmati kualiti dan respons jentera ini. 

Di bahagian kabin, Fiesta ST sarat dengan kemasan ST – tombol gear dibalut kulit dengan kemasan satin krom, serta logo ST pada plat pemijak kaki pintu hadapan. Bagi menambah tarikannya, stereng teleskopik yang dibalut kulit dan logo ST membolehkan pemandu sentiasa berada dalam posisi selesa untuk pemenduan yang mengujakan. 

Fiesta ST juga dilengkapi enam unit pembesar suara, pedal aloi berinspirasikan perlumbaan, serta tempat duduk Recaro dengan sulaman logo ST yang menawarkan sokongan terbaik kepada bahagian bahu dan badan pemandu. 

Rekaan luaran yang rugged dan sporty

Fiesta ST dibangunkan dengan DNA utama Ford sebagai kereta berprestasi di peringkat global. Rekaannya diperhalusi untuk penampilan yang lebih agresif dan sporty bersama ciri-ciri seperti gril dengan corak sarang lebah dan chin  spoiler yang unik, selain penyerap udara di belakang dan penambahan fascia.

Ia dipasang dengan ekzos berkembar dan kemasan krom di bahagian hujungnya, spoiler dipasang tinggi serta rim unik bersaiz 17 inci untuk menyerlahkan lagi kehalusan buatannya.  

Fiesta ST juga dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci pintar dan butang penghidup enjin. Di samping penggilap cermin dengan alat pengesan hujan, lampu utama automatik, lampu follow-me-home dan lampu nyalaan siang. 

Pemanduan yang seronok dan mengujakan 

Fiesta ST dilengkapi fungsi ‘overboost’ turbo yang membolehkan enjin mencapai tork tertinggi 290Nm untuk tempoh maksimum selama 17 saat. Rangkaian kuasa, suspensi, brek dan berat kurang daripada 1,200kg telah ditala dengan tepat dan fokus kepada pemanduan, sekali gus mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan. 

Tahap kekerasan olengan gandar belakang juga ditingkatkan bagi menambah baik aspek kestabilan ketika mengambil selekoh yang sempit pada kelajuan tinggi. Sementara badannya 15mm lebih rendah berbanding varian Fiesta yang lain. 

Menerusi penambahbaikan pada suspensi, cengkaman mekanikal telah berjaya ditingkatkan.  Torque Vectoring Control elektronik berfungsi mengurangkan masalah understeer, terutama ketika mengambil selekoh dengan laju. Terdapat tiga pilihan tahap Electronic Stability Control (ESC) – Off, Standard, Sport. Mode Standard sesuai untuk pemanduan di jalan biasa; Mode Sport untuk pemanduan yang lebih sporty; atau matikan sahaja ESC untuk pemanduan di litar dan membolehkan pemandu mengawal kenderaan  sepenuhnya . 

Ford Fiesta ST telah memenangi 22 anugerah, termasuklah dipilih sebagai kereta terbaik UK (Car of the Year UK) oleh majalah BBC TopGear, menjadikannya kereta berprestasi Ford yang memenangi anugerah terbanyak. Ia juga merupakan usaha global Ford dalam sukan motor dan telah mendapat keputusan perlumbaan yang mengagumkan dalam tahun 2014 dengan nama-nama besar seperti Reinis Nitiss dan Ken Block.

“Fiesta ST menawarkan pengendalian seperti jentera perlumbaan di dalam sebuah kereta kompak berprestasi tinggi. Dengan semua nilai tambah yang ada pada Fiesta ST ini, ia sememangnya menawarkan kualiti pengendalian yang responsif dan kawalan stereng yang lancar pada setiap selekoh,” tambah Westerman.

Ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan 

Electronic Stability Program (ESP) dengan Traction Control System (TCS) membantu pelanggan kekal dalam kawalan pada setiap masa, terutama di atas jalan yang licin. Apabila ia mengesan bahawa kenderaan mula hilang kawalan, ESP secara automatik akan mengurangkan kuasa enjin dan membrek roda secara berasingan untuk menstabilkan kenderaan serta memastikannya tidak tersasar. 

Hill Launch Assist pula membantu pemandu supaya dapat memulakan pemanduan dengan sempurna di laluan berbukit sama ada ketika menaiki atau menuruni bukit dengan memastikan Fiesta ST tidak bergerak selama tiga saat. Sistem ini menghalang  kenderaan daripada tergelongsor ke hadapan atau ke belakang ketika bergerak di laluan yang curam, sekali gus meningkatkan keyakinan pemandu. 

Sebagai tambahan, Fiesta ST didatangkan dengan kombinasi tujuh beg udara sebagai ciri standard yang mendahului kelasnya – ia merangkumi beg udara untuk pemandu, penumpang hadapan, sisi, curtain dan lutut pemandu.  

Bagi meningkatkan aspek keselamatan, lebih 50 peratus struktur badan Fiesta ST baharu diperbuat daripada keluli yang sangat kukuh. Ciri keselamatan yang penting ini membantu melindungi zon kritikal demi keselamatan penumpang. Bukan itu sahaja, zon remuk di bahagian hadapan dan belakang akan membantu menyerap impak secara progresif serta mengurangkan tenaga hentaman daripada memasuki ruang kabin penumpang. Sisi pintu juga dipasang dengan palang-palang keselamatan demi mengurangkan kecederaan jika berlaku pelanggaran.  

Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Emergency Brake Assist (EBA), Sistem Penggera Thatcham, tali pinggang keledar aktif 3 poin dengan ciri pra-regangan dan teknologi Ford BeltMinder. 

Pelan Servis Lanjutan Ford

Fiesta ST hadir bersama Pelan Servis Lanjutan Ford (ESP) untuk menawarkan ketenangan minda kepada para pelanggannya. ESP Ford adalah program penyelenggaraan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 60,000km yang meliputi kos alat ganti dan buruh secara percuma.

Sebagai tambahan kepada pemeriksaan rutin dan servis penyelenggaraan, ESP Ford turut melibatkan penggantian percuma untuk sejumlah barangan terpilih seperti palam pencucuh, penyerap hentak, tali enjin, pad brek dan bilah penggilap cermin. 

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.ford.com.my.  

KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ




Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger