Diskaun 20% Baik Pulih Di Bawah Program PROTON We-Care Prihatin Banjir


Proton Holdings Bhd. (Proton), mengaktifkan semula program PROTON ‘We-Care’ Prihatin Banjir bagi membantu membaik pulih kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Norzahid Mohd. Zahudi (gambar) berkata, di bawah program tersebut, pemilik kenderaan Proton yang terjejas akan diberikan potongan 20 peratus ke atas jumlah keseluruhan kos baik pulih kenderaan mereka.

Katanya, program yang dijalankan selama lima bulan bermula hari ini sehingga 15 Mac 2015 itu membabitkan pemeriksaan percuma, penilaian kerosakan serta bantuan penundaan dari tempat kejadian hingga ke cawangan pusat servis Proton terpilih.

Jelasnya, program berkenaan adalah merupakan inisiatif Proton bagi mengurangkan beban pemilik kereta Proton di kawasan yang kerap mengalami banjir yang merosakkan kenderaan mereka.

“Proton adalah jenama yang dimiliki semua rakyat Malaysia dan satu daripada cara terbaik untuk kami menyumbang kembali kepada masyarakat adalah dengan menghulurkan bantuan pada waktu mereka memerlukannya.

“Sebagai syarikat pengeluar kereta, kami bertanggungjawab membantu mangsa banjir kerana membaik pulih kenderaan memerlukan modal besar dan melalui program ini, diharap dapat meringankan beban pelanggan, khususnya kepada mereka yang tidak memiliki insurans bencana alam,” katanya.

Sebanyak 67 buah cawangan pusat servis Proton di seluruh negara kini bersiap sedia untuk menawarkan bantuan berkenaan.

Sehubungan itu, pemilik kenderaan Proton yang terbabit boleh menghubungi PROTON `We-Care’ Prihatin Banjir Centre di talian 1800-888-398 untuk pertanyaan, pertolongan dan bantuan khidmat penundaan.

Di bawah ini PROTON mencadangkan beberapa tips yang boleh diguna pakai oleh mangsa tentang cara untuk menguruskan kenderaan yang terjejas akibat banjir:

1. Jangan hidupkan enjin kereta anda.

2. Jangan gunakan alat kawalan jauh untuk membuka pintu kereta. Sebaliknya, lakukannya secara manual.

3. Pastikan buka atau matikan terminal negatif bateri kereta untuk menghentikan aliran arus elektrik di dalam kereta.

4. Ketiga-tiga langkah di atas bertujuan untuk mengurangkan kerosakan kepada peralatan, khususnya komponen elektrik dan mekanikal kenderaan.

5. Jika menggunakan langkah-langkah yang dicadangkan tadi, beberapa peralatan atau komponen masih dapat diselamatkan.

6. Selepas mematikan arus elektrik kereta anda, keluarkan barang-barang berharga dari kereta, kunci pintu kereta anda secara manual dan sila dapatkan khidmat lori tunda yang diiktiraf sebelum menarik kereta anda ke Pusat Servis PROTON pilihan anda.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger